KEJADIAN 3:1-15

KEJADIAN 3:1-15 BM

Ular ialah binatang yang paling licik antara semua binatang yang dijadikan oleh TUHAN Allah. Ular itu bertanya kepada perempuan itu, “Benarkah Allah melarang kamu makan buah daripada sebarang pokok di taman ini?” “Kami boleh makan buah daripada setiap pokok di taman ini,” jawab perempuan itu, “kecuali buah pokok yang ada di tengah-tengah taman. Allah melarang kami makan buah pokok itu ataupun menyentuhnya; jika kami berbuat demikian, kami akan mati.” Ular itu menjawab, “Itu tidak benar; kamu tidak akan mati. Allah berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.” Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu. Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu. Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?” Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.” “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.” Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?” Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu. Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami