KEJADIAN 29:16-35

KEJADIAN 29:16-35 BM

Laban mempunyai dua orang anak perempuan; yang sulung bernama Lea dan yang bongsu bernama Rahel. Lea mempunyai mata yang cantik; Rahel pula mempunyai bentuk badan yang menarik dan wajah yang jelita. Yakub jatuh cinta dengan Rahel. Oleh itu dia berkata, “Saya akan bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik, jika pak cik membenarkan saya berkahwin dengan Rahel.” Laban menjawab, “Aku lebih suka dia menjadi isterimu daripada isteri orang lain; tinggallah di sini bersama dengan aku.” Yakub bekerja selama tujuh tahun untuk mendapat Rahel. Bagi Yakub tahun-tahun itu berlalu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel. Kemudian Yakub berkata kepada Laban, “Masanya sudah tiba; benarkanlah saya berkahwin dengan anak perempuan pak cik!” Maka Laban membuat jamuan perkahwinan dan menjemput semua orang. Tetapi pada malam itu, untuk menggantikan Rahel, Laban menghantar Lea kepada Yakub, lalu Yakub bersetubuh dengan Lea. ( Laban memberikan Zilpa, hamba perempuannya kepada anaknya Lea, untuk menjadi hambanya.) Pagi esoknya barulah Yakub sedar bahawa Lea yang dikahwininya. Dia pergi berjumpa dengan Laban dan berkata, “Mengapa pak cik melakukan hal ini kepada saya? Saya sudah bekerja untuk mendapat Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?” Laban menjawab, “Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin. Tunggulah sampai selesai pesta tujuh hari perkahwinanmu ini, maka aku akan menyerahkan Rahel kepadamu, jika kamu mahu bekerja untukku selama tujuh tahun lagi.” Yakub bersetuju, dan apabila selesai pesta perkahwinan itu, Laban menyerahkan Rahel kepada Yakub untuk menjadi isterinya. ( Laban menyerahkan Bilha, hamba perempuannya kepada anaknya Rahel, untuk menjadi hambanya.) Yakub juga bersetubuh dengan Rahel, dan dia mengasihi Rahel lebih daripada Lea. Kemudian Yakub bekerja untuk Laban selama tujuh tahun lagi. Apabila TUHAN nampak bahawa Lea tidak begitu dikasihi seperti Rahel, Dia mengizinkan Lea melahirkan anak tetapi Rahel tetap tidak mendapat anak. Lea mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “TUHAN sudah melihat kesusahanku, dan kini suamiku akan mengasihi aku.” Maka dia menamakan anaknya Ruben. Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “TUHAN sudah mengurniakan anak ini kepadaku, kerana Dia sudah mendengar bahawa aku tidak dikasihi.” Maka dia menamakan anaknya Simeon. Lea mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Kini suamiku akan lebih terikat kepadaku, kerana aku sudah melahirkan tiga orang anak lelaki baginya.” Maka dia menamakan anaknya Lewi. Kemudian Lea mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia berkata, “Kali ini aku akan memuji TUHAN.” Maka dia menamakan anaknya Yehuda. Kemudian Lea tidak melahirkan anak untuk beberapa lama.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami