KEJADIAN 29:1-14

KEJADIAN 29:1-14 BM

Yakub meneruskan perjalanannya dan pergi ke negeri di sebelah timur Kanaan. Tiba-tiba dia ternampak sebuah perigi di padang. Tiga kawanan domba berbaring di sekeliling perigi itu; ternakan itu biasanya diberi minum di situ. Perigi itu ditutup dengan sebuah batu besar. Apabila semua binatang ternakan sudah berkumpul di tempat itu, para gembala menggulingkan batu itu ke samping, lalu ternakan diberi minum. Setelah itu para gembala menutup perigi itu semula. Yakub bertanya kepada para gembala yang berada di situ, “Hai sahabat-sahabat, kamu datang dari mana?” “Dari Haran,” jawab mereka. Yakub bertanya lagi, “Kenalkah kamu dengan Laban cucu Nahor?” “Ya, kami kenal,” jawab mereka. “Adakah dia sihat?” tanya Yakub. “Dia sihat,” jawab mereka. “Lihat, itu dia Rahel, anak perempuan Laban. Dia sedang menggiring ternakan bapanya.” Yakub berkata, “Hari masih siang dan belum lagi masanya untuk memasukkan ternakan ke dalam kandang. Mengapa kamu tidak memberi ternakan minum, lalu membiarkan ternakan itu meragut rumput semula?” Mereka menjawab, “Ternakan ini hanya boleh diberi minum apabila semua ternakan sudah berkumpul di sini dan batu penutup digulingkan.” Sementara Yakub bercakap-cakap dengan mereka, Rahel tiba bersama dengan ternakan bapanya. Apabila Yakub nampak Rahel menggiring ternakan itu, Yakub pergi ke perigi, menggulingkan batu penutupnya ke samping, lalu memberi ternakan itu minum. Kemudian dia mencium Rahel dan menangis kerana terharu. Dia berkata kepada Rahel, “Saya anak Ribka, saudara bapamu.” Rahel berlari untuk memberitahukan hal itu kepada bapanya. Apabila bapanya mendengar berita tentang Yakub, anak saudaranya, dia berlari untuk berjumpa dengan Yakub. Laban memeluk dan mencium dia, lalu membawa dia masuk ke rumah. Apabila Yakub memberitahu Laban segala yang sudah berlaku, Laban berkata, “Ya, memang kamu sedarah dengan aku.” Maka Yakub tinggal di situ selama satu bulan.