KEJADIAN 25:19-34

KEJADIAN 25:19-34 BM

Inilah kisah Ishak, anak Abraham. Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia berkahwin dengan Ribka anak Betuel, adik Laban, seorang Aram dari Mesopotamia. Oleh sebab Ribka tidak mempunyai anak, Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya. TUHAN mengabulkan doanya sehingga Ribka mengandung. Ribka mengandung anak kembar. Sebelum anak-anak itu lahir, mereka bergelut di dalam rahim. Ribka berkata, “Mengapakah perkara seperti ini harus berlaku kepadaku?” Oleh itu dia memohon petunjuk daripada TUHAN. TUHAN berfirman kepadanya, “Dua bangsa berada di dalam kandunganmu. Engkau akan melahirkan dua bangsa yang bermusuhan. Yang seorang lebih kuat daripada yang lain; yang sulung akan melayani yang bongsu.” Masanya tiba bagi Ribka untuk bersalin, lalu dia melahirkan anak lelaki kembar. Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu, maka anak itu dinamakannya Esau. Apabila anak yang kedua dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau, maka anak itu dinamakannya Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika anak-anak itu dilahirkan. Kedua-dua orang anak itu membesar; Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah. Ishak lebih sayang kepada Esau kerana dia suka makan daging binatang buruan, tetapi Ribka lebih sayang kepada Yakub. Pada suatu hari ketika Yakub sedang memasak bubur kacang merah, Esau pulang dari berburu. Esau berasa lapar, lalu berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” (Itulah sebabnya dia disebut Edom.) Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.” Esau berkata, “Peduli apa hak itu bagiku. Aku lapar setengah mati!” Yakub menjawab, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu kepadaku.” Esau bersumpah dan menyerahkan haknya kepada Yakub. Kemudian Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung.