KEJADIAN 24:12-27

KEJADIAN 24:12-27 BM

Kemudian hamba itu berdoa, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah, supaya tugasku berjaya pada hari ini; tepatilah janji-Mu kepada tuanku Abraham. Lihatlah aku berdiri dekat perigi ini. Sebentar lagi gadis-gadis kota ini akan datang menimba air. Aku akan berkata kepada salah seorang daripada mereka, ‘Tolong turunkan buyungmu dan berilah aku minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum,’ semoga dialah orang yang sudah Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Jika hal ini berlaku, aku akan tahu bahawa Engkau sudah menepati janji-Mu kepada tuanku Abraham.” Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka tiba dengan membawa buyung air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel; ibu bapa Betuel ialah Nahor dan Milka. Nahor ialah abang Abraham. Ribka seorang gadis yang sangat cantik dan masih dara. Dia menuju ke perigi itu dan mengisi buyungnya, lalu balik. Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.” Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu. Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.” Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum. Sementara itu hamba Abraham masih memperhatikan gadis itu tanpa berkata sepatah pun. Dia ingin tahu sama ada TUHAN menjayakan dia untuk menjalankan tugasnya atau tidak. Setelah semua unta minum sepuas-puasnya, hamba Abraham mengambil perhiasan emas yang berharga lalu mengenakannya pada hidung gadis itu, dan menyarungkan dua gelang emas pada lengannya. Kemudian hamba itu berkata, “Tolong beritahukan saya siapa bapamu. Adakah tempat bermalam di rumahnya untuk saya dan semua orang saya?” “Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka,” jawab gadis itu. “Di rumah kami ada tempat bermalam untuk tuan dan juga banyak jerami serta makanan ternak.” Kemudian hamba itu berlutut dan menyembah TUHAN. Dia berkata, “Pujilah TUHAN, Allah tuanku Abraham. TUHAN setia dan menepati janji-Nya kepada tuanku Abraham. Dia memimpin aku langsung kepada saudara mara tuanku.”