KEJADIAN 17

17
Sunat Sebagai Tanda Perjanjian
1Ketika Abram berumur 99 tahun, TUHAN menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa. Taatilah Aku dan lakukanlah kehendak-Ku selalu. 2Aku akan membuat perjanjian-Ku denganmu dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.” 3Abram bersujud, lalu Allah berfirman, 4“Inilah perjanjian yang Aku buat dengan engkau: Aku berjanji bahawa engkau akan menjadi nenek moyang banyak bangsa. 5 Oleh itu namamu tidak lagi disebut Abram, melainkan Abraham, kerana Aku menjadikan engkau nenek moyang banyak bangsa. 6Aku akan memberikan banyak anak cucu kepadamu, dan ada antara mereka yang akan menjadi raja. Engkau akan mempunyai keturunan yang sangat banyak sehingga mereka menjadi bangsa-bangsa.
7 Aku akan menepati janji-Ku kepadamu serta keturunanmu turun-temurun, dan perjanjian itu abadi. Aku akan menjadi Allahmu dan Allah keturunanmu. 8 Aku akan memberikan tanah ini kepadamu dan keturunanmu; tanah yang sekarang engkau diami sebagai orang asing. Seluruh tanah Kanaan akan menjadi kepunyaan keturunanmu selama-lamanya, dan Aku akan menjadi Allah mereka.”
9Allah berfirman lagi kepada Abraham, “Engkau juga mesti bersetuju untuk setia kepada perjanjian itu, engkau dan keturunanmu turun-temurun. 10 Engkau dan semua keturunanmu yang lelaki mesti disunat. 11-12Mulai hari ini engkau mesti menyunatkan setiap bayi lelaki apabila dia berumur lapan hari. Ini termasuk hamba yang lahir di dalam rumahmu dan hamba yang dibeli daripada bangsa asing. Sunat itu akan menjadi tanda perjanjian antara engkau dengan Aku. 13Tiap-tiap lelaki mesti disunat; sunat ini akan menjadi tanda jasmani yang menunjukkan bahawa perjanjian-Ku dengan engkau itu abadi. 14Setiap lelaki yang tidak disunat tidak dianggap anggota umat-Ku kerana dia tidak berpegang pada perjanjian itu.”
15Kemudian Allah berfirman kepada Abraham, “Jangan lagi panggil isterimu Sarai; mulai sekarang namanya Sara. 16Aku akan memberkati dia dan mengurniai engkau seorang anak lelaki yang akan dilahirkan oleh Sara. Aku akan memberkati Sara, dan dia akan menjadi ibu bangsa-bangsa. Di kalangan keturunannya akan ada raja-raja.”
17Abraham bersujud, tetapi dia tertawa ketika berfikir, “Mana mungkin seorang lelaki yang sudah berumur seratus tahun mendapat anak? Mana mungkin Sara melahirkan anak setelah berumur sembilan puluh tahun?” 18Oleh itu dia berkata kepada Allah, “Lebih baik Ismael saja yang menjadi warisku.”
19Tetapi Allah berfirman, “Tidak. Isterimu Sara akan melahirkan seorang anak lelaki untukmu dan engkau akan menamakan dia Ishak. Aku akan setia kepada perjanjian-Ku dengan anak itu dan dengan keturunannya selama-lamanya; perjanjian itu abadi. 20Aku sudah mendengar permintaanmu untuk Ismael. Oleh itu Aku akan memberkati dia dan memberi dia banyak anak dan keturunan. Dia akan menjadi nenek moyang dua belas ketua suku, dan Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar. 21Tetapi Aku akan memegang perjanjian-Ku dengan anak lelakimu, Ishak, yang akan dilahirkan oleh Sara, kira-kira pada masa seperti ini tahun hadapan.” 22Setelah berfirman kepada Abraham, Allah pergi dari situ.
23Pada hari itu juga, Abraham mentaati Allah dengan menyunatkan anak lelakinya Ismael, serta semua kaum lelaki dalam keluarganya, termasuk hamba-hamba yang dilahirkan di rumahnya dan hamba-hamba yang dibelinya. 24Abraham berumur 99 tahun ketika dia disunat, 25dan anak lelakinya Ismael berumur 13 tahun. 26Mereka berdua disunat pada hari yang sama, 27bersama dengan semua hamba Abraham.

Terpilih Sekarang Ini:

KEJADIAN 17: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk