KEJADIAN 13:7-18

KEJADIAN 13:7-18 BM

Oleh sebab itu pertengkaran berlaku antara para gembala Abram dan para gembala Lot. (Pada masa itu orang Kanaan dan orang Feris masih tinggal di tanah itu.) Kemudian Abram berkata kepada Lot, “Kita ini bersaudara; orangmu dan orangku tidak sepatutnya bertengkar. Oleh itu sebaiknya kita berpisah. Pilihlah bahagian tanah yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.” Lot memandang di sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh Lembah Yordan, sampai ke kota Zoar mempunyai banyak air, seperti Taman TUHAN atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan kota Sodom dan Gomora.) Akhirnya Lot memilih seluruh Lembah Yordan, lalu berangkat ke sebelah timur. Demikianlah kedua-dua orang itu berpisah. Abram tetap tinggal di tanah Kanaan, sedangkan Lot tinggal di antara kota-kota di lembah itu dan berkhemah dekat Sodom. Penduduk kota Sodom sangat jahat dan berdosa terhadap TUHAN. Selepas Lot meninggalkan tempat itu, TUHAN berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berdiri, pandanglah baik-baik ke segala arah; Aku akan memberikan seluruh tanah yang engkau lihat itu kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan menjadi milikmu selama-lamanya. Aku akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak, sehingga tiada sesiapa pun dapat menghitung mereka. Sebagaimana debu di tanah tidak dapat dihitung, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung. Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikan tanah ini kepadamu.” Selepas itu Abram memindahkan perkhemahannya, lalu menetap berhampiran dengan pokok-pokok keramat di Mamre, dekat Hebron. Di situ dia membina sebuah mazbah untuk TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami