KEJADIAN 12:10-20

KEJADIAN 12:10-20 BM

Tetapi ada kebuluran yang sangat dahsyat di negeri Kanaan, sehingga Abram pergi lebih jauh lagi ke selatan, ke negeri Mesir, lalu tinggal di sana untuk sementara waktu. Pada masa dia hendak melintasi sempadan negeri Mesir, dia berkata kepada isterinya Sarai, “Engkau perempuan cantik. Apabila orang Mesir nampak engkau, mereka akan berkata, ‘Dia ini isteri Abram’, lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan engkau hidup. Lebih baik engkau katakan saja bahawa engkau adikku supaya aku dibiarkan hidup dan diperlakukan dengan baik kerana engkau.” Setelah Abram melintasi sempadan negeri Mesir, orang Mesir nampak bahawa Sarai sangat cantik. Beberapa orang pegawai istana nampak Sarai, lalu memberitahu raja betapa cantiknya perempuan itu; oleh itu Sarai dibawa ke istana raja. Kerana Sarai, raja memperlakukan Abram dengan baik lalu memberikan hamba, kawanan domba dan kambing, lembu, keldai, serta unta kepadanya. Tetapi kerana raja mengambil Sarai, TUHAN mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada baginda serta semua orang di dalam istana baginda. Oleh itu raja memanggil Abram dan bertanya kepadanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap beta? Mengapa kamu tidak memberitahu beta bahawa perempuan itu isterimu? Mengapa kamu katakan bahawa dia adikmu, dan membiarkan beta mengambilnya menjadi isteri beta? Ini dia isterimu; ambillah dia dan pergilah!” Raja memberikan perintah kepada beberapa orang pegawainya, lalu mereka menyuruh Abram pergi dari negeri itu bersama-sama isterinya dan segala miliknya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami