GALATIA 4:8-20

GALATIA 4:8-20 BM

Dahulu kamu tidak mengenal Allah. Oleh itu kamu menjadi abdi kuasa-kuasa yang kamu anggap sebagai tuhan, tetapi sebenarnya sama sekali bukan Tuhan. Tetapi sekarang kamu mengenal Allah, atau, lebih tepat lagi, Allah mengenal kamu. Mengapa kamu mahu kembali kepada roh-roh yang menguasai dunia ini? Roh-roh itu lemah dan tidak berguna. Mengapa kamu mahu diperhamba oleh roh-roh itu lagi? Kamu merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. Aku khuatir akan kamu. Mungkinkah jerih payahku bagi kamu sia-sia sahaja? Saudara-saudaraku, aku memohon supaya kamu menjadi seperti aku, kerana aku pun sudah menjadi seperti kamu. Kamu tidak pernah bersalah terhadap aku. Masih ingatkah kamu, apa sebabnya aku mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu pada kali pertama? Sebabnya adalah kerana aku jatuh sakit. Tetapi pada masa itu kamu tidak menghina ataupun menolak aku, meskipun penyakitku merupakan ujian berat bagi kamu. Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti kamu menyambut malaikat Allah. Kamu menyambut aku seperti kamu menyambut Kristus Yesus. Pada waktu itu kamu sangat bersukacita dan aku tahu bahawa kamu rela berbuat apa sahaja, bahkan mencungkil mata untuk diberikan kepadaku. Tetapi apa yang telah berlaku sekarang? Adakah sekarang kamu menganggap aku sebagai musuh kerana aku memberitahu kamu apa yang benar itu? Semua orang lain itu berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kamu memihak kepada mereka, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka berniat memisahkan kamu daripada aku supaya kamu menumpukan perhatian kepada mereka sahaja. Memang baik menumpukan perhatian kepada hal-hal yang baik, asalkan jangan hanya semasa aku bersama-sama kamu. Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus. Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan GALATIA 4:8-20