Musuh orang Yehuda dan Benyamin mendengar bahawa mereka yang telah pulang dari pembuangan itu sedang membina semula Rumah TUHAN, Allah Israel. Oleh itu mereka menghadap Zerubabel dan para pemimpin umat itu, lalu berkata, “Benarkanlah kami ikut membina Rumah TUHAN. Kami pun menyembah Allah yang sama dan kami selalu mempersembahkan korban kepada-Nya sejak kami disuruh tinggal di sini oleh Raja Esarhadon, raja negeri Asyur.”
Zerubabel, Yesua, dan para pemimpin umat berkata kepada mereka, “Kami tidak memerlukan bantuan kamu untuk membina Rumah bagi TUHAN, Allah kami. Kami sendiri akan membinanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh Raja Kores, raja Persia.”
Selepas itu penduduk yang telah lama tinggal di negeri itu cuba menawarkan hati orang Yahudi dan menakut-nakuti mereka, supaya pembinaan itu dihentikan. Mereka juga memberikan rasuah kepada para pegawai kerajaan Persia supaya menggagalkan pembinaan itu. Mereka berbuat demikian sepanjang pemerintahan Raja Kores, bahkan sampai ke masa pemerintahan Raja Darius.
Pada permulaan pemerintahan Raja Ahasweros, musuh penduduk Yehuda dan Yerusalem menulis surat tuduhan.
Pada masa pemerintahan Raja Artahsasta, raja Persia, peristiwa itu berulang lagi; Bislam, Mitredat, Tabeel, serta rakan-rakan mereka mengirim sepucuk surat kepada raja. Surat itu ditulis dalam bahasa Aram, dan perlu diterjemahkan ketika dibaca.
Selain itu, Gabenor Rehum dan Simsai setiausahanya, juga menulis surat berikut kepada Raja Artahsasta tentang Yerusalem,
“Surat ini daripada Gabenor Rehum, Setiausaha Simsai, dan rakan-rakan mereka, iaitu para hakim, serta semua pegawai Persia yang lain, yang berasal dari Erekh, Babel, dan Susan di tanah Elam; bersama-sama bangsa-bangsa lain yang dipindahkan oleh Raja Asnapar yang Agung ke kota Samaria dan ke tempat lain di wilayah Efrat Barat.”
Kandungan surat itu seperti berikut,
“Kepada Raja Artahsasta, daripada hamba-hamba tuanku dari Efrat Barat. Salam.
Hendaklah tuanku maklum bahawa orang Yahudi yang datang ke sini dari kawasan lain itu kini tinggal di Yerusalem dan sedang membina semula kota yang derhaka dan jahat itu. Mereka sudah mulai membina semula temboknya dan tidak lama lagi pembinaan itu akan selesai. Jika kota itu dibina semula dan temboknya didirikan, penduduknya mungkin tidak mahu lagi membayar cukai. Oleh itu pendapatan kerajaan akan berkurangan. Hamba sekalian terhutang budi kepada tuanku, kerana itu kami tidak ingin melihat perkara itu berlaku. Hamba sekalian mencadangkan supaya tuanku memeriksa arkib para nenek moyang tuanku. Tentu tuanku akan mengetahui bahawa sejak dahulu, kota itu sentiasa memberontak dan menyusahkan para raja dan penguasa negeri. Penduduknya selalu susah diperintah dan itulah sebabnya kota itu dimusnahkan. Hamba sekalian yakin bahawa jika kota itu dibina semula dan temboknya didirikan, tuanku tidak dapat menguasai wilayah Efrat Barat lagi.”