EZRA 10:1-17

EZRA 10:1-17 BM

Sambil menangis Ezra bersujud untuk berdoa dan mengaku dosa di hadapan Rumah TUHAN. Sementara itu banyak orang Israel - lelaki, perempuan, dan kanak-kanak - datang berkumpul di sekelilingnya; mereka juga menangis tersedu-sedu. Kemudian Sekhanya anak Yehiel, seorang daripada puak Elam, berkata kepada Ezra, “Kami telah berdosa terhadap TUHAN kerana berkahwin dengan perempuan asing. Walaupun demikian, masih ada harapan bagi Israel. Marilah kita bersumpah kepada Allah bahawa kita akan mengusir semua perempuan itu dan anak-anak mereka. Kami akan menurut nasihat tuan dan nasihat orang yang menjunjung perintah Allah. Kami akan taat kepada Taurat Allah. Bertindaklah kerana itulah tanggungjawab tuan. Kami akan menyokong tuan dengan sepenuhnya. Bertindaklah dengan tegas sehingga perkara itu selesai.” Oleh itu Ezra mulai bertindak dengan menyuruh para pemimpin imam, orang Lewi dan umat Israel yang lain bersumpah bahawa mereka akan melakukan cadangan Sekhanya. Setelah mereka bersumpah, Ezra pergi dari bahagian depan Rumah TUHAN ke tempat tinggal Yohanan anak Elyasib. Ezra bermalam di situ dan bersedih hati kerana memikirkan ketidaksetiaan orang dari pembuangan itu. Dia tidak makan atau minum apa-apa pun. Kemudian diumumkan di seluruh Yerusalem dan Yehuda bahawa semua orang yang telah pulang dari pembuangan, harus hadir pada suatu perjumpaan di Yerusalem. Itulah perintah para pemimpin rakyat. Sesiapa yang tidak hadir dalam masa tiga hari, segala harta miliknya akan dirampas, dan dia tidak lagi dianggap sebagai anggota masyarakat Israel. Dalam masa tiga hari, iaitu pada hari kedua puluh bulan sembilan, semua orang lelaki yang tinggal di kawasan Yehuda dan Benyamin datang ke Yerusalem dan berkumpul di halaman Rumah TUHAN. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat. Semua orang menggigil kerana kesejukan dan juga kerana mustahaknya pertemuan itu. Kemudian Imam Ezra berdiri dan berkata kepada umat itu, “Kamu telah berdosa dan menambah kesalahan Israel kerana berkahwin dengan perempuan asing. Oleh sebab itu, akuilah dosa kamu di hadapan TUHAN, Allah nenek moyang kamu dan lakukanlah apa yang diperkenankan-Nya. Jauhkanlah diri kamu daripada orang asing yang tinggal di negeri kita, dan usirlah semua isteri kamu yang berbangsa asing.” Semua orang itu menjawab dengan lantang, “Kami akan melakukan apa sahaja kata tuan.” Tetapi kata mereka lagi, “Perhimpunan ini terlalu besar, lagipun hujan lebat. Kami tidak tahan berdiri di tempat yang terbuka ini. Lagi pula, hal ini bukan perkara yang dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua hari, oleh sebab banyak sekali di kalangan kami yang terlibat dalam dosa ini. Benarkanlah para pemimpin kami tinggal di Yerusalem untuk menguruskan hal ini. Kemudian tiap-tiap orang yang mempunyai isteri berbangsa asing harus datang ke situ pada waktu yang ditetapkan, dan menghadap bersama dengan para pemimpin dan hakim kota masing-masing. Dengan cara itu Allah tidak akan murka lagi kepada kita kerana perkara itu.” Tiada seorang pun membantah cadangan itu kecuali Yonatan anak Asael dan Yahzeya anak Tikwa. Mereka disokong oleh Mesulam dan Sabetai, seorang Lewi. Mereka yang telah pulang dari pembuangan itu tetap hendak menerima cadangan itu. Oleh itu, Imam Ezra melantik beberapa orang di kalangan pemimpin puak Israel dan mencatat nama mereka. Pada hari pertama bulan sepuluh, mereka mulai menyiasat perkara itu. Dalam masa tiga bulan, mereka selesai membuat penyiasatan terhadap semua lelaki yang mempunyai isteri berbangsa asing.