YEHEZKIEL 44:15-29

YEHEZKIEL 44:15-29 BM

TUHAN Raja berfirman, “Para imam Lewi daripada keturunan Zadok, tetap setia bekerja untuk Aku apabila umat Israel meninggalkan Aku. Oleh itu, sekarang merekalah yang akan bekerja untuk Aku dan datang ke hadirat-Ku untuk mempersembahkan lemak serta darah korban. Hanya mereka yang boleh masuk ke dalam Rumah-Ku, bertugas di mazbah-Ku, dan memimpin ibadat di situ. Apabila mereka masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang, mereka harus memakai pakaian linen. Mereka tidak boleh memakai pakaian daripada bulu domba apabila sedang bertugas di halaman dalam atau di dalam Rumah-Ku. Agar tidak berpeluh, mereka harus memakai serban linen dan seluar linen tanpa tali pinggang. Sebelum mereka keluar ke halaman luar, ke tempat umat berkumpul, imam-imam hendaklah menanggalkan pakaian imam dan meninggalkannya di dalam bilik-bilik suci. Mereka mesti mengenakan pakaian lain supaya pakaian suci itu tidak mencelakakan umat. Para imam tidak boleh mencukur kepala sampai botak ataupun membiarkan rambut menjadi panjang. Rambut mereka harus dipotong menurut peraturan yang ditetapkan. Mereka tidak boleh minum wain apabila hendak masuk ke halaman dalam. Seseorang imam tidak boleh berkahwin dengan wanita yang sudah bercerai. Seseorang imam hanya boleh berkahwin dengan anak dara Israel, atau balu imam. Para imam akan mengajar umat-Ku membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci; apa yang bersih menurut agama dan apa yang najis. Apabila timbul perselisihan tentang perkara hukum, para imam harus mengadili perkara itu menurut hukum-Ku. Mereka harus menyelenggarakan perayaan-perayaan agama menurut hukum dan peraturan-Ku serta merayakan hari Sabat sebagai hari yang suci. Seorang imam tidak boleh menajiskan diri dengan menyentuh mayat, kecuali jenazah ibu bapanya atau anak-anaknya atau saudara lelakinya ataupun saudara perempuannya yang belum berkahwin. Sesudah imam itu bersih semula, dia mesti menunggu selama tujuh hari lagi, lalu masuk ke halaman dalam di Rumah-Ku, dan mempersembahkan korban untuk menyucikan diri supaya dia boleh bertugas lagi di Rumah-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman. Para imam harus menerima jawatan itu sebagai bahagian mereka daripada apa yang Kuberikan kepada Israel turun-temurun. Mereka tidak boleh memiliki apa-apa warisan di Israel; Akulah warisan mereka. Korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi, akan menjadi makanan imam. Mereka harus menerima apa-apa sahaja di Israel, yang telah dipersembahkan kepada-Ku, sebagai bahagian mereka.