YEHEZKIEL 1

1
YEHEZKIEL MENDAPAT PENGLIHATAN PERTAMA TENTANG ALLAH
(1.1—7.27)
Takhta Allah
1 Pada hari kelima bulan keempat dalam tahun ketiga puluh, aku, Imam Yehezkiel anak Busi, berada di tepi Sungai Kebar di Babilonia bersama-sama orang buangan Yahudi. Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat suatu penglihatan tentang Allah. ( 2 Hal itu berlaku lima tahun selepas Raja Yoyakhin dibuang negeri.) 3Di negeri Babilonia, di tepi Sungai Kebar, aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku, dan aku merasa kuasa-Nya.
4Aku menengadah dan melihat angin ribut datang dari utara. Kilat sambar-menyambar dari awan yang amat besar, dan langit di sekelilingnya terang-benderang. Ketika kilat itu sambar-menyambar, terlihat sesuatu yang bersinar-sinar seperti gangsa. 5 Di tengah-tengah angin ribut itu aku nampak juga empat kerub, iaitu makhluk yang menyerupai manusia, 6tetapi setiap makhluk mempunyai empat muka dan empat sayap. 7Kaki makhluk itu lurus, berkuku seperti kuku anak lembu dan bersinar-sinar seperti gangsa yang digilap. 8Selain empat muka dan empat sayap itu, setiap makhluk mempunyai empat tangan yang seperti tangan manusia, satu tangan di bawah setiap sayap. 9Dua sayap daripada setiap makhluk itu terkembang dan hujungnya bersentuhan dengan sayap makhluk yang lain sehingga keempat-empat makhluk itu membentuk segi empat. Apabila bergerak, makhluk-makhluk itu bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.
10 Setiap makhluk itu mempunyai empat muka yang berlainan: muka manusia di bahagian hadapan, muka singa di sebelah kanan, muka lembu di sebelah kiri, dan muka helang di bahagian belakang.
11Dua sayap daripada setiap makhluk itu terbentang tinggi sehingga menyentuh hujung sayap makhluk yang di sebelahnya. Dua sayap lain terlipat menutupi badan setiap makhluk. 12Setiap makhluk menghadap empat arah agar dapat menuju ke arah mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk tanpa memusingkan badan.
13 Antara makhluk itu terdapat sesuatu yang berupa suluh yang bernyala. Suluh itu sentiasa bergerak. Apinya menyala dan memancarkan kilat. 14Makhluk-makhluk itu terbang berulang-alik secepat kilat.
15 Sedang aku melihat empat makhluk itu, aku nampak pula empat buah roda di atas tanah, sebuah roda di samping setiap makhluk. 16Keempat-empat roda itu sama rupanya dan berkilauan seperti batu permata, dan setiap roda mempunyai sebuah roda lain yang melintang di tengah-tengahnya. 17Dengan demikian keempat-empat roda itu dapat bergerak ke empat arah. 18 Bingkai roda penuh dengan mata. 19Apabila makhluk-makhluk itu bergerak, roda pun ikut bergerak. Jika makhluk-makhluk itu naik ke udara, roda pun ikut sama. 20Makhluk-makhluk itu pergi ke mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk, dan roda selalu ikut kerana dikuasai oleh makhluk-makhluk itu. 21Oleh itu setiap kali makhluk-makhluk itu bergerak atau berhenti atau naik ke udara, roda pun ikut sama.
22 Di atas kepala makhluk-makhluk itu, ada sesuatu yang rupanya seperti kubah yang dibuat daripada kristal yang berkilau-kilauan. 23Di bawah kubah itu makhluk-makhluk itu berdiri, sambil merentangkan dua sayap ke arah makhluk yang di sebelahnya, sedangkan dua sayap lagi menutupi badan. 24 Apabila makhluk-makhluk itu terbang, aku mendengar bunyi kepakan sayap. Bunyi itu seperti deru air terjun, seperti derap langkah pasukan tentera yang besar, dan seperti suara Allah Yang Maha Kuasa. Makhluk-makhluk itu melipat sayap apabila berhenti terbang, 25tetapi bunyi masih kedengaran dari kubah yang di atas kepala makhluk-makhluk itu.
26 Di atas kubah itu pula ada sesuatu yang kelihatan seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Sesuatu yang seperti manusia duduk di atas takhta itu. 27 Dari pinggangnya ke atas kelihatan bersinar-sinar seperti gangsa di tengah nyala api, dan dari pinggangnya ke bawah kelihatan seperti api. Sinaran itu terang-benderang 28dengan warna-warna pelangi. Cahaya berkilauan itu menunjukkan hadirat TUHAN.

Terpilih Sekarang Ini:

YEHEZKIEL 1: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk