Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?”
Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?”
“Tongkat,” jawab Musa.
TUHAN berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula. TUHAN berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.”
TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan. Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya. TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka. Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.”
Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.”
Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.”
Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.”
Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau.