KELUARAN 33:7-19

KELUARAN 33:7-19 BM

Bila-bila sahaja orang Israel berkhemah, Musa akan mengambil Khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan mereka, tidak berapa jauh dari perkhemahan itu. Khemah itu dinamakan Khemah TUHAN. Sesiapa yang minta nasihat TUHAN akan pergi ke Khemah itu. Setiap kali Musa pergi ke Khemah itu, segenap umat akan berdiri di pintu khemah mereka dan memperhatikan Musa sehingga dia masuk ke dalam Khemah TUHAN. Setelah Musa masuk, tiang awan turun dan berhenti di pintu Khemah itu, lalu TUHAN berfirman kepada Musa dari awan itu. Sebaik sahaja umat melihat tiang awan di pintu Khemah TUHAN, mereka bersujud. TUHAN berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya. Kemudian Musa kembali ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi pembantu Musa, tinggal di dalam Khemah TUHAN. Musa berkata kepada TUHAN, “Memang benar Engkau telah menyuruh aku memimpin umat ini ke tanah yang telah Engkau janjikan, tetapi Engkau tidak memberitahu aku siapa yang Engkau utus untuk menyertai aku. Engkau berfirman bahawa Engkau mengenal aku dengan baik serta berkenan kepadaku. Jika hal ini benar, nyatakanlah rancangan-Mu supaya aku dapat mengabdikan diri kepada-Mu dan tetap menyenangkan hati-Mu. Ingatlah juga bahawa Engkau telah memilih umat ini menjadi milik-Mu sendiri.” TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu.” Musa menjawab, “Jika Engkau tidak ikut kami, jangan suruh kami meninggalkan tempat ini. Bagaimanakah orang lain tahu bahawa Engkau berkenan kepada umat-Mu dan aku, jika Engkau tidak ikut kami? Hadirat-Mu di tengah-tengah kami akan membezakan kami daripada bangsa lain di bumi.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan melakukan seperti yang engkau minta, kerana Aku mengenal engkau dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.” Kemudian Musa memohon, “Benarkanlah aku melihat cahaya hadirat-Mu.” TUHAN menjawab, “Aku akan lalu dengan segala keagungan-Ku di hadapanmu, sambil mengucapkan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan kepada orang yang Aku pilih.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami