Pada masa itu Musa menggembala kawanan domba dan kambing Yitro mentuanya, imam di negeri Midian. Ketika Musa sedang menggiring ternakan itu ke seberang padang gurun, dia tiba di Gunung Sinai, gunung yang suci. Di sana malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Musa dalam api yang menyala di tengah semak. Musa nampak semak itu menyala, tetapi tidak terbakar. “Aneh!” fikirnya. “Mengapa semak itu tidak terbakar? Baiklah aku melihat dari dekat.”
Apabila TUHAN nampak Musa menghampiri-Nya, TUHAN memanggil dia dari tengah semak itu, “Musa, Musa!”
Musa menjawab, “Ya, aku di sini.”
Allah berfirman, “Jangan datang dekat-dekat. Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci. Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.” Oleh itu Musa menutup mukanya kerana dia takut memandang Allah.
Kemudian TUHAN berfirman, “Aku telah melihat betapa kejamnya umat-Ku dianiaya di Mesir; Aku telah mendengar seruan mereka mohon dibebaskan daripada pengerah-pengerah abdi. Sesungguhnya, Aku tahu akan segala penderitaan mereka. Oleh itu Aku turun untuk membebaskan mereka daripada orang Mesir, dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang luas, kaya, dan subur. Pada masa ini, negeri itu didiami oleh orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi. Sesungguhnya Aku telah mendengar seruan umat-Ku dan melihat bagaimana orang Mesir menindas mereka. Sekarang Aku mengutus engkau untuk menghadap raja Mesir supaya engkau dapat memimpin umat-Ku keluar dari negeri raja itu.”
Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Siapakah aku ini? Aku tidak sanggup menghadap raja dan membawa orang Israel keluar dari Mesir.”
Allah berfirman, “Aku akan menyertai engkau. Apabila engkau telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada-Ku di gunung ini. Itulah buktinya bahawa Aku telah mengutus engkau.”
Tetapi Musa berkata, “Jika aku menemui orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Allah nenek moyang kamu telah mengutus saya kepada kamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah namanya?’ Apakah yang harus aku katakan kepada mereka?”
Allah berfirman kepada Musa, “Aku adalah AKU. Inilah yang mesti engkau katakan kepada mereka, ‘Dia yang menyebut diri-Nya AKU sudah mengutus saya kepada kamu.’ Beritahulah umat Israel, bahawa AKU, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah mengutus engkau kepada mereka. Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya; itulah nama panggilan-Ku yang harus digunakan oleh semua keturunan yang akan datang. Pergilah dan himpunkanlah para pemimpin Israel dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu. Beritahulah mereka bahawa Aku telah datang kepada mereka dan telah melihat apa yang dilakukan orang Mesir terhadap mereka. Aku telah mengambil keputusan untuk membawa mereka keluar dari Mesir, tempat mereka ditindas, dan membawa mereka ke suatu tanah yang kaya dan subur, iaitu negeri orang Kanaan, Het, Amori, Feris, Hewi, dan Yebusi.