KELUARAN 24:1-11

KELUARAN 24:1-11 BM

Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah ke gunung untuk menghadap Aku, engkau bersama dengan Harun, Nadab, Abihu, dan tujuh puluh orang pemimpin Israel, lalu sujudlah menyembah Aku dari jauh. Engkau seorang sahaja yang boleh menghampiri Aku; yang lain tidak boleh datang dekat-dekat, dan rakyat tidak boleh naik ke gunung ini.” Musa pergi dan memberitahu umat itu segala perintah dan peraturan TUHAN. Segenap umat menjawab dengan serentak, “Kami akan melakukan segala yang difirmankan oleh TUHAN.” Selepas itu Musa mencatatkan segala perintah TUHAN. Awal pagi esoknya, Musa membina sebuah mazbah di kaki gunung itu, lalu mendirikan dua belas buah batu; setiap batu mewakili salah satu suku Israel. Kemudian Musa mengutus beberapa orang muda untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan juga mempersembahkan beberapa ekor lembu sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Musa mengambil setengah daripada darah binatang itu lalu menuangkannya ke dalam mangkuk-mangkuk, dan yang setengah lagi dituangkannya ke atas mazbah. Selepas itu Musa mengambil kitab perjanjian yang bertuliskan perintah TUHAN, lalu dengan nyaring membacakannya kepada umat. Mereka berkata, “Kami akan mentaati TUHAN dan melakukan segala perintah-Nya.” Kemudian Musa mengambil darah yang ada di dalam mangkuk-mangkuk itu lalu menyiramkannya ke atas umat. Dia berkata, “Inilah darah yang memeteraikan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan kamu ketika Dia memberikan semua perintah ini.” Selepas itu Musa, Harun, Nadab, Abihu, dan tujuh puluh orang pemimpin itu mendaki gunung, lalu mereka nampak Allah Israel. Dia berdiri di atas sesuatu seperti lantai daripada batu nilam, yang biru seperti langit cerah. Para pemimpin Israel itu sudah nampak Allah; walaupun begitu mereka tidak dibinasakan-Nya. Selepas itu mereka makan dan minum.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami