KELUARAN 18:13-26

KELUARAN 18:13-26 BM

Pada keesokan hari, Musa menyelesaikan perselisihan antara orang Israel. Oleh itu dia sibuk dari pagi hingga malam. Apabila Yitro melihat segala sesuatu yang perlu dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapa kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang itu harus berdiri di sini dari pagi hingga malam untuk meminta nasihatmu?” Musa menjawab, “Saya mesti melakukan kerja ini kerana umat datang kepada saya untuk mengetahui kehendak Allah. Apabila dua orang bertengkar, mereka akan datang kepada saya dan saya memutuskan siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan perintah dan hukum Allah kepada mereka.” Kemudian Yitro berkata kepada Musa, “Kamu tidak melakukan tugas ini dengan cara yang betul. Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri. Sekarang dengarlah nasihat saya, maka Allah akan menyertai kamu. Memang kamu harus mewakili umat ini di hadapan Allah dan mengemukakan perselisihan mereka kepada-Nya. Kamu harus mengajar mereka tentang perintah dan hukum Allah, serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan. Tetapi selain hal itu, kamu harus memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana. Lantiklah mereka sebagai pemimpin rakyat untuk mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka mestilah orang yang takut akan Allah, yang dapat dipercayai, dan yang tidak mahu menerima rasuah. Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu. Jika kamu melakukan hal ini sebagaimana yang diperintahkan Allah, kamu tidak akan meletihkan diri, dan semua orang itu pun dapat pulang ke rumah dengan perselisihan yang sudah diselesaikan.” Musa mengikut nasihat Yitro. Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka sentiasa bertugas sebagai hakim orang Israel. Mereka mengemukakan hal-hal yang sukar kepada Musa, tetapi mereka sendiri menyelesaikan perselisihan yang kecil-kecil.