KELUARAN 18
18
Yitro Melawat Musa
1Yitro, bapa mentua Musa, imam di Midian, mendengar segala yang telah dilakukan Allah bagi Musa dan orang Israel ketika TUHAN membawa mereka keluar dari Mesir. 2Oleh itu Yitro bersama dengan Zipora datang melawat Musa. Zipora ialah isteri Musa, yang masih tinggal di Midian. 3 Yitro juga membawa Gersom dan Eliezer, dua orang anak lelaki Zipora. (Musa pernah berkata, “Aku seorang asing di tanah yang tidak aku kenali.” Oleh itu dia menamakan seorang daripada anak lelakinya Gersom. 4Dia juga berkata, “Allah yang disembah bapaku telah menolong dan menyelamatkan aku daripada dibunuh oleh raja Mesir.” Oleh itu dia menamakan anak lelakinya yang seorang lagi Eliezer.) 5Yitro datang bersama dengan isteri dan anak-anak lelaki Musa ke padang gurun, tempat Musa berkhemah dekat gunung suci. 6Yitro telah mengirim khabar kepada Musa bahawa mereka sedang datang. 7Oleh itu Musa keluar untuk menyambutnya. Dia bersujud di hadapan Yitro lalu menciumnya. Mereka saling bertanya tentang kesihatan masing-masing, lalu masuk ke khemah Musa. 8Musa memberitahu Yitro segala perbuatan TUHAN terhadap raja dan orang Mesir untuk menyelamatkan orang Israel. Dia juga memberitahu Yitro tentang kesusahan yang dihadapi mereka dalam perjalanan dan bagaimana mereka telah diselamatkan oleh TUHAN. 9Yitro sangat gembira apabila mendengar segala perkara itu. 10Dia berkata, “Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan kamu daripada raja dan orang Mesir. Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan umat-Nya daripada perhambaan! 11Sekarang aku tahu bahawa TUHAN lebih agung daripada semua tuhan, kerana Dia melakukan semua itu ketika orang Mesir bertindak dengan sangat angkuh terhadap orang Israel.” 12Kemudian Yitro membawa persembahan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga korban-korban lain untuk dipersembahkan kepada Allah. Harun dan semua pemimpin orang Israel pergi dengan Yitro untuk makan bersama-sama di hadirat Allah.
Perlantikan Para Hakim
(Ul 1.9-18)
13Pada keesokan hari, Musa menyelesaikan perselisihan antara orang Israel. Oleh itu dia sibuk dari pagi hingga malam. 14Apabila Yitro melihat segala sesuatu yang perlu dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapa kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang itu harus berdiri di sini dari pagi hingga malam untuk meminta nasihatmu?”
15Musa menjawab, “Saya mesti melakukan kerja ini kerana umat datang kepada saya untuk mengetahui kehendak Allah. 16Apabila dua orang bertengkar, mereka akan datang kepada saya dan saya memutuskan siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan perintah dan hukum Allah kepada mereka.”
17Kemudian Yitro berkata kepada Musa, “Kamu tidak melakukan tugas ini dengan cara yang betul. 18Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri. 19Sekarang dengarlah nasihat saya, maka Allah akan menyertai kamu. Memang kamu harus mewakili umat ini di hadapan Allah dan mengemukakan perselisihan mereka kepada-Nya. 20Kamu harus mengajar mereka tentang perintah dan hukum Allah, serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan. 21Tetapi selain hal itu, kamu harus memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana. Lantiklah mereka sebagai pemimpin rakyat untuk mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka mestilah orang yang takut akan Allah, yang dapat dipercayai, dan yang tidak mahu menerima rasuah. 22Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu. 23Jika kamu melakukan hal ini sebagaimana yang diperintahkan Allah, kamu tidak akan meletihkan diri, dan semua orang itu pun dapat pulang ke rumah dengan perselisihan yang sudah diselesaikan.”
24Musa mengikut nasihat Yitro. 25Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. 26Mereka sentiasa bertugas sebagai hakim orang Israel. Mereka mengemukakan hal-hal yang sukar kepada Musa, tetapi mereka sendiri menyelesaikan perselisihan yang kecil-kecil.
27Kemudian Musa mengucapkan selamat jalan kepada Yitro, lalu Yitro pulang ke negerinya.
Terpilih Sekarang Ini:
KELUARAN 18: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.