KELUARAN 16:2-15

KELUARAN 16:2-15 BM

Mereka semua bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di padang gurun itu. Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Lebih baik sekiranya kami mati dibunuh oleh TUHAN di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat duduk, serta makan daging, dan seberapa banyak makanan yang kami inginkan. Tetapi kamu telah membawa kami ke padang gurun ini supaya kami semua mati kelaparan.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak. Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.” Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir. Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.” Kemudian Musa berkata, “TUHAN akan memberi kamu daging untuk dimakan pada waktu petang, dan seberapa banyak roti yang kamu kehendaki pada waktu pagi, kerana Dia telah mendengar betapa seringnya kamu bersungut terhadap-Nya. Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap TUHAN.” Musa berkata kepada Harun, “Suruhlah mereka semua datang menghadap TUHAN, kerana Dia telah mendengar sungutan mereka.” Sedang Harun berucap kepada mereka semua, mereka memandang ke hala padang gurun, dan tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan di dalam awan. TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.” Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?” Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KELUARAN 16:2-15