KELUARAN 14:5-13

KELUARAN 14:5-13 BM

Apabila raja Mesir diberitahu bahawa orang Israel telah melarikan diri, raja itu bersama dengan para pegawainya mengubah fikiran, lalu berkata, “Apakah yang telah kita buat? Kita telah membiarkan orang Israel melarikan diri sehingga kita kehilangan abdi.” Raja menyiapkan kereta kudanya untuk berperang, dan juga tenteranya. Raja berangkat dengan semua kereta kudanya, termasuk enam ratus buah kereta kuda terbaik yang dikendarai oleh para panglima tentera. TUHAN menyebabkan raja berdegil, sehingga raja mengejar orang Israel yang sedang dalam perjalanan meninggalkan tempat itu dengan kemenangan. Tentera Mesir bersama dengan semua kuda, kereta kuda dan pemandu, mengejar orang Israel dan menyusul mereka di tempat perkhemahan mereka di tepi Laut Gelagah, dekat Pi-Hahirot dan Baal-Zefon. Apabila orang Israel melihat raja dan tentera Mesir mara untuk menyerang mereka, mereka takut lalu berseru kepada TUHAN meminta pertolongan. Mereka berkata kepada Musa, “Tiadakah kubur di Mesir sehingga kamu membawa kami ke padang gurun untuk mati? Lihatlah apa yang terjadi kerana kamu membawa kami keluar dari Mesir! Sebelum kita berangkat, kami telah berkata bahawa perkara ini akan berlaku. Kami telah memberitahu kamu supaya tidak mengganggu kami, dan membiarkan kami terus menjadi abdi orang Mesir. Lebih baik kami menjadi abdi di sana daripada mati di padang gurun ini.” Musa menjawab, “Jangan takut! Tabahlah! Perhatikanlah apa yang akan dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu pada hari ini; kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi.