PENGKHUTBAH 9

9
1Lama aku memikirkan hal itu dengan mendalam, dan aku mendapati bahawa Allah menguasai segala perbuatan orang yang bijak dan orang yang baik, bahkan jika mereka mengasihi atau membenci orang. Tiada sesiapa tahu hal yang akan berlaku pada masa hadapan. 2Memang tidak ada bezanya! Nasib yang sama menimpa setiap orang jujur mahupun orang derhaka, orang baik mahupun orang jahat, orang yang tahir mahupun orang yang najis, orang yang mempersembahkan korban mahupun orang yang tidak mempersembahkan korban. Orang baik tidak lebih bertuah daripada orang berdosa, dan orang yang bersumpah tidak lebih bertuah daripada orang yang tidak mahu bersumpah. 3Nasib manusia semuanya sama dan hal itu salah, seperti semua kejadian lain di dunia ini. Selama manusia hidup, fikiran mereka penuh dengan kejahatan dan kebodohan, dan tiba-tiba mereka meninggal. 4Tetapi sesiapa yang masih hidup di dunia ini mempunyai harapan. Bukankah anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati? 5Orang yang masih hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang telah mati tidak tahu apa-apa pun. Mereka tidak mendapat ganjaran lagi, mereka telah dilupakan orang. 6Kasih, kebencian, dan nafsu mereka, semuanya lenyap bersama-sama mereka. Mereka tidak lagi mengambil bahagian dalam apa-apa hal yang berlaku di dunia ini.
7Makanlah, minumlah, dan bergembiralah! Minumlah wain dan bergembiralah; Allah tidak melarangnya. 8Biarlah kamu sentiasa bergembira dan muka kamu berseri-seri. 9Nikmatilah hidup dengan isteri yang kamu kasihi, selama hidupmu yang sia-sia, yang diberikan Allah kepadamu di dunia ini. Nikmatilah setiap hari meskipun sia-sia sahaja kerana hanya itu yang kamu dapat untuk jerih payahmu. 10Jalankanlah segala tugasmu dengan sungguh-sungguh, kerana di dunia orang mati tiada pekerjaan, fikiran, pengetahuan, ataupun hikmat lagi; ke sanalah kamu akan pergi.
11Ada lagi yang aku dapati di dunia ini: pelari yang pantas tidak selalu menang, dan orang yang berani tidak selalu menang dalam pertempuran. Orang bijak tidak selalu dapat mencari nafkah, orang berakal tidak selalu menjadi kaya, dan orang yang handal tidak selalu memperoleh kedudukan yang tinggi. Nasib malang boleh menimpa setiap orang. 12Manusia tidak tahu saat ketibaan bencana. Seperti burung yang terjerat, dan ikan yang terjala, begitu juga manusia ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka.
Fikiran tentang Hikmat dan Kebodohan
13Aku juga melihat contoh baik tentang bagaimana hikmat dihargai orang di dunia ini. 14Ada sebuah kota kecil dan penduduknya tidak ramai. Seorang raja yang kuat menyerang kota itu, mengepungnya dan bersiap untuk merobohkan tembok kota itu. 15Di kota itu ada seorang miskin yang bijak. Dengan hikmatnya dia sebenarnya dapat menyelamatkan kota itu, tetapi tidak seorang pun ingat akan dia. 16Selama ini aku telah mengatakan bahawa hikmat lebih baik daripada kekuatan, tetapi hikmat orang miskin dihina. Perkataan orang miskin tidak dipeduli. 17Lebih baik mendengar kata-kata lembut orang yang berilmu daripada teriakan penguasa dalam perhimpunan orang bodoh. 18Hikmat lebih baik daripada senjata, tetapi seorang berdosa dapat merosakkan banyak hal yang baik.

Terpilih Sekarang Ini:

PENGKHUTBAH 9: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk