PENGKHUTBAH 3:1-15

PENGKHUTBAH 3:1-15 BM

Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah. Dia menentukan waktu untuk melahirkan dan waktu untuk meninggal, waktu untuk menanam dan waktu untuk mencabut, waktu untuk membunuh dan waktu untuk menyembuhkan, waktu untuk merobohkan dan waktu untuk membina. Dia menentukan waktu untuk menangis dan waktu untuk tertawa, waktu untuk berkabung dan waktu untuk menari, waktu untuk berasmara dan waktu untuk menahan diri, waktu untuk memeluk dan waktu untuk mengawal diri. Dia menentukan waktu untuk mendapat dan waktu untuk kehilangan, waktu untuk menyimpan dan waktu untuk membuang, waktu untuk mengoyakkan dan waktu untuk menjahit, waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur. Dia menentukan waktu untuk mengasihi dan waktu untuk membenci, waktu untuk berperang dan waktu untuk berdamai. Apakah hasil semua usaha kita? Aku tahu bahawa Allah telah memberikan beban yang berat kepada kita. Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara. Dia telah memberi kita keinginan untuk mengetahui masa depan, tetapi tidak memberi kita pemahaman tentang segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir. Oleh itu, aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup. Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah. Aku tahu bahawa semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia. Apa-apa yang telah berlaku atau akan berlaku telah pun berlaku pada masa yang lampau. Allah menentukan supaya yang sudah berlaku, akan terjadi berulang kali.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan PENGKHUTBAH 3:1-15

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami