ULANGAN 8
8
Tanah yang Baik untuk Dimiliki
1“Patuhilah dengan setia semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini, supaya kamu tetap hidup dan bilangan kamu bertambah, dan dapat menduduki tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu. 2Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak. 3 Dia membiarkan kamu kelaparan lalu memberi kamu manna, iaitu sejenis makanan yang belum pernah dimakan oleh kamu atau nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk mengajar kamu bahawa manusia tidak hidup dengan roti sahaja, melainkan dengan tiap-tiap firman TUHAN. 4Selama empat puluh tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak. 5Ingatlah, TUHAN, Allah kamu menegur ajar kamu sama seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya. 6Oleh itu, patuhilah perintah TUHAN; hiduplah menurut hukum-Nya dan taatilah Dia. 7TUHAN, Allah kamu sedang membawa kamu ke tanah yang subur, tanah yang mempunyai sungai dan mata air, serta sungai kecil di bawah tanah yang memancur ke lembah-lembah dan bukit-bukit; 8tanah yang menghasilkan gandum dan barli, buah anggur, buah ara, buah delima, buah zaitun, dan madu. 9Di sana kamu tidak akan kelaparan atau kekurangan apa-apa. Batu di tanah itu mengandungi besi dan kamu dapat melombong tembaga di bukit-bukit. 10Kamu akan mendapat semua yang kamu ingin makan, dan kamu akan bersyukur kepada TUHAN, Allah kamu untuk tanah subur yang diberikan-Nya kepada kamu.”
Peringatan supaya Tidak Melupakan TUHAN
11“Pastikanlah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu. Jangan gagal mentaati satu hukum pun yang aku berikan kepada kamu hari ini. 12Apabila kamu sudah mendapat segala yang kamu ingin makan, dan telah membina rumah-rumah baik sebagai tempat tinggal kamu; 13apabila lembu dan domba, emas dan perak, serta segala harta kamu yang lain sudah bertambah banyak, 14pastikanlah supaya kamu tidak menjadi sombong, dan tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu. 15Dia telah memimpin kamu melalui padang gurun yang luas dan menakutkan itu, tempat yang dihuni ular berbisa dan kala jengking. Di tanah yang kering dan tidak berair itu, Dia memancarkan air dari bukit batu untuk kamu. 16 Di padang gurun Dia memberi kamu manna, sejenis makanan yang tidak pernah dimakan oleh nenek moyang kamu. Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu, supaya pada akhirnya Dia dapat berbuat baik kepada kamu. 17Oleh itu, jangan sekali-kali berfikir bahawa kamu menjadi kaya kerana kuasa dan kekuatan kamu sendiri. 18Ingatlah, bahawa TUHAN, Allah kamu itulah yang menjadikan kamu kaya. Dia melakukan hal itu kerana sampai hari ini, Dia masih setia kepada perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu. 19Jangan lupa akan TUHAN, Allah kamu, dan jangan pergi kepada tuhan-tuhan lain untuk menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan itu. Aku memberi amaran kepada kamu hari ini bahawa jika kamu melakukannya juga, kamu pasti binasa. 20Jika kamu tidak taat kepada TUHAN, maka kamu akan dibinasakan seperti bangsa-bangsa yang akan dibinasakan-Nya apabila kamu bergerak maju.”
Terpilih Sekarang Ini:
ULANGAN 8: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.