ULANGAN 5:1-11

ULANGAN 5:1-11 BM

Musa mengumpulkan semua orang Israel lalu berkata kepada mereka, “Hai umat Israel, dengarlah semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Pelajarilah semua hukum ini dan taatilah semuanya dengan setia. TUHAN, Allah kita sudah membuat suatu perjanjian dengan kita di Gunung Sinai. Dia membuat perjanjian itu bukan sahaja dengan nenek moyang kita tetapi dengan kita juga, kita semua yang hidup hari ini. Di atas gunung itu, dari dalam api, TUHAN berfirman langsung dengan kamu. Pada masa itu aku menjadi pengantara bagi kamu dan TUHAN untuk menyampaikan firman-Nya kepada kamu, kerana kamu takut kepada api itu dan tidak mahu mendaki gunung. TUHAN berfirman, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja. Jangan buat patung berhala bagi diri kamu, patung berhala yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud kepada berhala apa pun, atau memujanya, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu generasi orang yang mengasihi Aku, dan yang taat kepada hukum-Ku. Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami