ULANGAN 4
4
Musa Menggesa Umat Israel supaya Patuh
1Kemudian Musa berkata kepada umat itu, “Patuhilah semua hukum yang aku ajarkan kepada kamu, supaya kamu hidup dan dapat menduduki tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah nenek moyang kamu, kepada kamu. 2 Jangan tambahkan sedikit pun dan jangan kurangkan sedikit pun kepada apa yang aku perintahkan. Taatilah perintah-perintah TUHAN, Allah kamu yang sudah aku sampaikan kepada kamu. 3 Kamu sendiri sudah nampak apa yang dilakukan oleh TUHAN di Gunung Peor. Di sana Dia membinasakan tiap-tiap orang yang memuja Baal, 4tetapi kamu yang tetap setia kepada TUHAN, Allah kamu, masih hidup hingga hari ini.
5Aku sudah mengajar kamu segala hukum itu, seperti yang telah diperintahkan oleh TUHAN, Allahku. Patuhilah semua hukum itu di tanah yang akan kamu rebut dan duduki. 6Patuhilah hukum itu dengan setia. Dengan demikian, kebijaksanaan kamu akan menjadi nyata kepada bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, ‘Alangkah bijaksana dan arifnya bangsa yang besar itu!’
7Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai tuhan yang begitu dekat apabila diperlukan mereka sebagaimana TUHAN, Allah kita dekat kepada kita. Dia menjawab bila-bila sahaja kita berseru meminta pertolongan. 8Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai hukum seadil hukum yang sudah aku ajarkan kepada kamu hari ini. 9Berjaga-jagalah! Pastikanlah bahawa selama kamu hidup, kamu tidak sekali-kali lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Beritahulah anak cucu kamu 10tentang hari itu, ketika kamu berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu di Gunung Sinai. Pada masa itu Dia berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku supaya mereka belajar taat kepada-Ku seumur hidup, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk taat kepada-Ku.’
11Beritahulah anak-anak kamu bagaimana kamu datang dan berdiri di kaki gunung yang diliputi oleh awan tebal daripada asap hitam, dan oleh api yang menyala sampai ke langit. 12 Beritahulah mereka bagaimana TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api itu, dan bagaimana kamu mendengar suara-Nya tetapi tidak melihat Dia dalam bentuk apa pun. 13 Dia memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan untuk menepati perjanjian yang sudah dibuat-Nya dengan kamu; kamu mesti mematuhi Sepuluh Hukum yang ditulis-Nya pada dua buah batu tulis. 14 TUHAN menyuruh aku mengajar kamu semua hukum yang mesti kamu patuhi di tanah yang segera akan kamu rebut dan duduki.”
Amaran tentang Penyembahan Berhala
15“Pada masa TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api di Gunung Sinai, kamu tidak melihat apa-apa bentuk pun. Oleh itu, pastikanlah supaya 16 kamu tidak berdosa dengan membuat berhala bagi diri kamu sendiri dalam bentuk apa pun, sama ada berbentuk orang lelaki atau perempuan, 17binatang, burung, 18 binatang menjalar, atau ikan. 19Jangan tergoda untuk menyembah dan mengabdi kepada yang kelihatan di langit, iaitu matahari, bulan, dan bintang. TUHAN, Allah kamu telah memberikan benda-benda itu kepada semua bangsa lain untuk disembah. 20 Tetapi kamu adalah bangsa yang sudah diselamatkan-Nya dari Mesir, tempat yang bagaikan relau yang menyala. Dia membawa kamu keluar dari negeri itu supaya kamu menjadi umat-Nya sendiri sebagaimana keadaan kamu hari ini. 21 Oleh sebab kamu, TUHAN, Allah kamu murka terhadap aku, sehingga Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang subur, yang akan diberikan-Nya kepada kamu. 22Aku akan meninggal di sini dan tidak akan menyeberangi sungai itu. Tetapi tidak lama lagi kamu akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang subur itu. 23Ingatlah baik-baik! Jangan lupa akan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu. Taatilah perintah-Nya; jangan sekali-kali membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu, 24 kerana TUHAN, Allah kamu itu bagaikan api yang menghanguskan. Dia tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.
25Apabila kamu telah tinggal lama di negeri itu dan sudah beranak cucu, jangan berdosa dengan membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu sendiri. Perbuatan itu jahat di sisi TUHAN, dan hal itu akan menyebabkan Dia murka. 26Pada hari ini aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu tidak taat kepadaku, kamu akan segera lenyap dari tanah itu. Kamu tidak akan tinggal lama di tanah di seberang Sungai Yordan, yang segera akan kamu duduki. Kamu akan dibinasakan sama sekali. 27TUHAN akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain, dan hanya sedikit di kalangan kamu akan hidup. 28 Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat oleh tangan manusia, tuhan-tuhan daripada kayu dan batu, yang tidak dapat melihat atau mendengar, makan atau menghidu. 29 Di sana kelak kamu akan mencari TUHAN, Allah kamu, dan jika kamu mencari-Nya dengan segenap hati, kamu akan menemui Dia. 30Apabila kamu dalam kesusahan dan segala bencana itu menimpa kamu, barulah kamu akan kembali kepada TUHAN, Allah kamu dan taat kepada-Nya. 31TUHAN, Allah kamu ialah Allah yang berbelas kasihan. Dia tidak akan meninggalkan atau membinasakan kamu. Dia tidak akan melupakan perjanjian yang sudah dibuat-Nya sendiri dengan nenek moyang kamu.
32Selidikilah masa lampau, lama sebelum kamu dilahirkan, bermula dari masa Allah menciptakan manusia di bumi. Periksalah seluruh bumi ini. Pernahkah perkara sebesar ini berlaku? Pernahkah sesiapa pun mendengar kejadian seperti ini? 33Pernahkah ada bangsa yang tetap hidup setelah mendengar suatu tuhan bersabda dari dalam api sebagaimana yang kamu alami? 34Pernahkah ada suatu tuhan yang berani mengambil suatu umat daripada bangsa lain lalu menjadikan umat itu umatnya sendiri, seperti yang dilakukan oleh TUHAN, Allah kamu bagi kamu di Mesir? Di depan mata kamu sendiri Dia telah menggunakan kuasa dan kekuatan-Nya yang besar; Dia mendatangkan wabak dan peperangan, melakukan mukjizat dan keajaiban, serta menyebabkan perkara-perkara dahsyat berlaku. 35 TUHAN telah melakukan semua perkara itu supaya kamu tahu bahawa Dia satu-satunya Allah, dan tidak ada yang lain. 36Dia membenarkan kamu mendengar suara-Nya dari langit supaya Dia dapat mengajar kamu; di bumi ini Dia membenarkan kamu melihat api-Nya yang suci, dan dari api itu Dia berfirman kepada kamu. 37Oleh sebab Dia mengasihi nenek moyang kamu, Dia memilih kamu; dengan kuasa-Nya yang besar, Dia sendiri membawa kamu keluar dari Mesir. 38Dia mengusir bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, supaya Dia boleh membawa kamu ke tanah mereka, dan memberikan tanah itu kepada kamu. Hingga sekarang tanah itu masih menjadi milik kamu. 39Oleh itu ingatlah hari ini dan jangan lupa bahawa TUHAN satu-satunya Allah di langit dan di bumi; tidak ada yang lain. 40Patuhilah semua hukum-Nya yang sudah aku berikan kepada kamu hari ini, maka kamu dan keturunan kamu akan sejahtera. Kamu akan tetap tinggal di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu untuk menjadi milik kamu selama-lamanya.”
Kota-Kota Perlindungan di Sebelah Timur Sungai Yordan
41Kemudian Musa memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan. 42Kota-kota itu menjadi tempat seseorang menyelamatkan diri, jika dengan tidak sengaja dia membunuh seorang yang bukan musuhnya. Orang yang telah membunuh itu boleh lari ke salah satu kota itu dan dia tidak akan dibunuh. 43 Kota Bezer di dataran tinggi padang gurun diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Ruben. Kota Ramot di daerah Gilead diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Gad. Kota Golan di daerah Basan diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Manasye.
Umat Israel Diberikan Hukum Allah
44Musa memberikan hukum dan ajaran Allah kepada umat Israel. 45-46Musa memberi mereka hukum itu selepas mereka keluar dari Mesir, dan berada di sebelah timur Sungai Yordan, di lembah di seberang kota Bet-Peor. Daerah ini termasuk wilayah yang dahulu dimiliki Raja Sihon, raja orang Amori, yang pernah memerintah di kota Hesybon. Musa dan umat Israel mengalahkan raja itu apabila mereka keluar dari Mesir. 47Mereka menduduki tanah Raja Sihon, dan juga tanah Raja Og di Basan, seorang raja Amori lain yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan. 48Tanah yang diduduki mereka itu terbentang luas sampai ke kota Aroer di tepi Sungai Arnon, dan terus ke utara sampai ke Gunung Siryon, iaitu Gunung Hermon; 49dan juga termasuk seluruh daerah di sebelah timur Sungai Yordan sampai ke Laut Mati di sebelah selatan, dan ke kaki Gunung Pisga di sebelah timur.
Terpilih Sekarang Ini:
ULANGAN 4: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.