ULANGAN 28:1-14

ULANGAN 28:1-14 BM

“Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu, dan setia melakukan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka Dia akan menjadikan kamu bangsa yang paling masyhur di dunia. Taatilah TUHAN, Allah kamu, maka segala berkat ini akan diberikan kepada kamu: Diberkatilah kota dan ladang kamu. Diberkatilah kamu sehingga anak kamu banyak, hasil tanaman kamu berlimpah-limpah, dan lembu serta domba kamu banyak. Diberkatilah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripadanya. Diberkatilah segala usaha kamu. TUHAN akan mengalahkan musuh apabila mereka menyerang kamu. Mereka akan melancarkan serangan dengan teratur, tetapi kemudian lari bertempiaran. TUHAN, Allah kamu akan memberkati usaha kamu dan memenuhi gudang-gudang kamu dengan gandum. Dia akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu. Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu dan melakukan segala perintah-Nya, Dia akan menjadikan kamu umat-Nya sendiri seperti yang sudah dijanjikan-Nya. Kemudian semua bangsa di dunia akan tahu bahawa TUHAN sudah memilih kamu menjadi umat-Nya sendiri, dan mereka akan takut terhadap kamu. TUHAN akan mengurniai kamu anak yang banyak. Ternakan kamu akan banyak, dan hasil tanaman kamu berlimpah-ruah di tanah yang telah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu untuk diberikan kepada kamu. TUHAN akan menurunkan hujan pada musimnya dari tempat-tempat penyimpanan hujan di langit; Dia akan memberkati segala usaha kamu supaya kamu dapat memberi pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak usah meminjam apa-apa daripada sesiapa pun. TUHAN, Allah kamu akan menjadikan kamu pemimpin antara bangsa-bangsa dan bukan pengikut. Kamu akan sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal, jika kamu taat dengan setia kepada segala perintah TUHAN yang aku berikan kepada kamu hari ini. Tetapi jangan sekali-kali langgar perintah itu dengan apa cara pun, dan jangan sembah tuhan-tuhan lain.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami