ULANGAN 18:14-22

ULANGAN 18:14-22 BM

Kemudian Musa berkata, “Bangsa-bangsa di tanah yang akan kamu duduki itu mengikut nasihat tukang tenung dan orang yang mencari petanda, tetapi TUHAN, Allah kamu tidak membenarkan kamu melakukan perkara itu. Sebaliknya TUHAN, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu; nabi itu akan seperti aku dan dia daripada bangsa kamu sendiri; kamu mesti taat kepadanya. Pada waktu kamu berkumpul di Gunung Sinai, kamu memohon supaya kamu tidak lagi mendengar TUHAN berfirman, atau melihat hadirat-Nya yang bernyala-nyala, kerana kamu takut mati. Oleh itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Permintaan mereka itu bijak. Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat itu. Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku, dan Aku akan menghukum setiap orang yang tidak mahu taat kepadanya. Tetapi jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, tetapi sebenarnya Aku tidak menyuruh dia berbuat begitu, nabi itu mesti mati. Setiap nabi yang berkata-kata demi nama tuhan-tuhan lain mesti mati.’ Mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, ‘Bagaimana kami tahu sama ada perkhabaran nabi itu berasal daripada TUHAN atau tidak?’ Jika seorang nabi berkata-kata demi nama TUHAN, dan yang dikatakannya itu tidak berlaku, maka perkhabaran itu bukanlah perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu telah berkata-kata dengan mengikut fikiran sendiri, dan kamu tidak usah takut kepada dia.”