ULANGAN 18
18
Bahagian Para Imam
1“Seluruh suku Lewi, termasuk para imam tidak boleh menerima bahagian tanah di Israel, tetapi mereka akan menerima sebahagian persembahan dan korban lain yang diberikan kepada TUHAN. 2 Yang diterima mereka itu adalah warisan mereka, sebagaimana yang sudah dijanjikan TUHAN. Itulah sebabnya mereka tidak boleh memiliki tanah seperti suku-suku lain.
3Apabila lembu atau domba dipersembahkan sebagai korban, maka bahagian bahu, rahang, dan perut binatang itu harus diberikan kepada imam. 4Para imam harus diberikan hasil pertama daripada biji-bijian, wain, minyak zaitun, dan bulu domba. 5TUHAN memilih suku Lewi antara semua suku kamu untuk mengabdi kepada-Nya sebagai imam selama-lamanya.
6Sesiapa sahaja orang Lewi yang berasal dari kota mana pun di Israel, boleh datang ke satu tempat ibadat itu, 7dan boleh mengabdi kepada TUHAN, Allahnya sebagai imam, seperti orang Lewi lain yang bertugas di sana. 8Dia harus diberikan makanan sebanyak yang diterima oleh imam-imam lain, dan dia boleh menyimpan apa sahaja yang dikirim oleh keluarganya.”
Perbuatan yang Dilarang
9“Apabila kamu sampai ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan ikut perbuatan keji yang diamalkan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sana. 10 Jangan persembahkan anak-anak kamu sebagai korban yang dibakar di atas mazbah. Jangan biar sesiapa pun di kalangan kamu menjadi tukang tenung, atau mencari petanda, atau menggunakan jampi 11 atau ilmu sihir, atau mengadakan hubungan dengan roh orang mati. 12TUHAN, Allah kamu membenci orang yang melakukan perbuatan keji itu. Itulah sebabnya Dia mengusir bangsa-bangsa itu dari tanah itu apabila kamu datang. 13 Kamu harus setia dengan sepenuhnya kepada TUHAN, Allah kamu.”
Allah Berjanji untuk Mengutus Seorang Nabi
14Kemudian Musa berkata, “Bangsa-bangsa di tanah yang akan kamu duduki itu mengikut nasihat tukang tenung dan orang yang mencari petanda, tetapi TUHAN, Allah kamu tidak membenarkan kamu melakukan perkara itu. 15 Sebaliknya TUHAN, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu; nabi itu akan seperti aku dan dia daripada bangsa kamu sendiri; kamu mesti taat kepadanya.
16Pada waktu kamu berkumpul di Gunung Sinai, kamu memohon supaya kamu tidak lagi mendengar TUHAN berfirman, atau melihat hadirat-Nya yang bernyala-nyala, kerana kamu takut mati. 17Oleh itu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Permintaan mereka itu bijak. 18Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat itu. 19 Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku, dan Aku akan menghukum setiap orang yang tidak mahu taat kepadanya. 20Tetapi jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, tetapi sebenarnya Aku tidak menyuruh dia berbuat begitu, nabi itu mesti mati. Setiap nabi yang berkata-kata demi nama tuhan-tuhan lain mesti mati.’
21Mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, ‘Bagaimana kami tahu sama ada perkhabaran nabi itu berasal daripada TUHAN atau tidak?’ 22Jika seorang nabi berkata-kata demi nama TUHAN, dan yang dikatakannya itu tidak berlaku, maka perkhabaran itu bukanlah perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu telah berkata-kata dengan mengikut fikiran sendiri, dan kamu tidak usah takut kepada dia.”
Terpilih Sekarang Ini:
ULANGAN 18: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.