ULANGAN 14

14
Cara Berkabung yang Dilarang
1 “Kamulah umat TUHAN, Allah kamu. Oleh itu apabila kamu berkabung bagi orang yang sudah meninggal, jangan lukakan tubuh atau cukur rambut pada bahagian depan kepala kamu, seperti yang dilakukan oleh bangsa lain. 2 Kamu milik TUHAN, Allah kamu; Dia sudah memilih kamu untuk menjadi umat-Nya sendiri, antara semua bangsa yang tinggal di atas bumi.”
Binatang yang Halal dan yang Haram
(Im 11.1-47)
3“Jangan makan apa-apa yang dinyatakan haram oleh TUHAN. 4Kamu boleh makan binatang ini: lembu, domba, kambing, 5rusa, domba hutan, kambing hutan, dan kijang. 6Tiap-tiap binatang yang berkuku belah dan yang memamah biak boleh dimakan. 7Kamu tidak boleh makan binatang yang tidak berkuku belah dan yang tidak memamah biak. Jangan makan daging unta, arnab, atau landak batu. Binatang itu haram kerana walaupun memamah biak, tetapi tidak berkuku belah. 8Jangan makan babi. Binatang itu haram, kerana walaupun berkuku belah tetapi binatang itu tidak memamah biak. Jangan makan binatang seperti itu, dan jangan sentuh bangkainya.
9Kamu boleh makan semua jenis ikan yang mempunyai sirip dan sisik, 10tetapi apa sahaja binatang yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik, tidak boleh dimakan. Binatang seperti itu haram.
11Kamu boleh makan semua jenis burung yang halal. 12-18Tetapi jenis-jenis burung yang berikut tidak boleh kamu makan: burung rajawali, burung hantu, semua jenis burung helang, burung nasar, burung gagak, burung unta, burung camar, burung ranggung, burung pucung dan semua jenis burung bangau, burung undan, burung kosa, dan kelawar.
19Semua serangga yang bersayap adalah haram; jangan makan serangga jenis itu. 20Makanlah serangga jenis yang halal.
21 Jangan makan binatang yang mati biasa. Daging binatang itu boleh dimakan oleh orang asing yang tinggal di kalangan kamu, atau dijual kepada orang asing. Tetapi kamu milik TUHAN, Allah kamu; kamu umat-Nya.
Jangan rebus anak domba atau anak kambing di dalam susu induknya.”
Peraturan tentang Persembahan Persepuluhan
22“Sisihkanlah persembahan persepuluhan, iaitu sepersepuluh daripada segala hasil ladang kamu setiap tahun. 23Kemudian pergilah ke satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, Allah kamu sebagai tempat ibadat. Di hadirat TUHAN, Allah kamu, di tempat yang dipilih-Nya itu, makanlah persembahan persepuluhan itu: biji-bijian, wain, minyak zaitun, anak sulung lembu, dan anak sulung domba kamu. Buatlah demikian supaya kamu sentiasa belajar menghormati TUHAN, Allah kamu. 24Jika kamu tinggal terlalu jauh dari satu tempat ibadat itu, dan susah bagi kamu membawa persembahan persepuluhan daripada hasil ladang yang diberikan oleh TUHAN, kepada kamu, maka lakukanlah hal ini: 25Juallah hasil ladang itu dan bawalah wang harganya ke satu tempat ibadat itu. 26Dengan wang itu belilah apa sahaja yang kamu mahu - lembu, domba, wain, dan minuman keras. Kemudian di tempat itu, di hadirat TUHAN, Allah kamu, kamu dan keluarga kamu harus makan dan bersukacita.
27Jangan abaikan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu; mereka tidak mempunyai harta milik. 28Pada akhir setiap tahun ketiga, bawalah persembahan persepuluhan daripada segala hasil tanaman kamu dan simpanlah semuanya di dalam kota-kota kamu. 29 Makanan itu untuk orang Lewi kerana mereka tidak mempunyai harta milik. Makanan itu juga untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Mereka boleh datang dan mengambil segala yang diperlukan mereka. Buatlah demikian, maka TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu.”

Terpilih Sekarang Ini:

ULANGAN 14: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk