Mendengar hal itu raja naik murka lalu memberikan perintah supaya ketiga-tiga orang itu dibawa menghadapnya. Raja bertitah kepada mereka, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak mahu menyembah dewa beta dan tidak mahu sujud di hadapan patung emas yang telah beta dirikan itu? Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.” Ketika itu Raja Nebukadnezar sangat murka terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga mukanya menjadi merah padam. Oleh itu raja memerintahkan orang-orangnya memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa. Baginda memerintah beberapa orang askar yang paling kuat untuk mengikat ketiga-tiga orang itu dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu. Askar raja pun mengikat tiga orang itu yang masih berpakaian lengkap - baju labuh, jubah, serban dan semua pakaian lain - lalu melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala. Oleh sebab raja memberikan perintah supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, api itu membakar sampai mati askar-askar yang melemparkan tiga orang itu ke dalam relau. Sadrakh, Mesakh, dan Abednego jatuh ke dalam relau yang bernyala-nyala itu, dalam keadaan terikat.
Baca DANIEL 3
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: DANIEL 3:13-23
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video