DANIEL 1:1-8

DANIEL 1:1-8 BM

Pada tahun ketiga pemerintahan Yoyakim sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar, raja Babilonia menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu. Tuhan membenarkan Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakim dan merampas sebahagian daripada barang-barang berharga di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar membawa bersama-samanya beberapa orang tawanan dan menempatkan mereka di kuil dewa-dewanya di Babel. Baginda menyimpan barang-barang berharga itu di dalam gudang-gudang kuil. Raja Nebukadnezar memerintah Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk memilih beberapa orang pemuda dari kalangan orang Israel yang dalam pembuangan. Para pemuda itu harus daripada keturunan raja atau berdarah bangsawan. Mereka harus kacak, berpendidikan tinggi, cerdas, dan berpengetahuan luas serta tidak cacat, supaya mereka dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas diperintah supaya mengajar mereka membaca dan menulis bahasa Babilonia. Raja juga memberikan perintah agar setiap hari mereka diberikan makanan dan wain sama seperti yang diberikan kepada anggota keluarga diraja. Selepas latihan selama tiga tahun, mereka akan dihadapkan kepada raja. Antara mereka yang terpilih ialah Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya, semuanya daripada suku Yehuda. Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baru, iaitu Beltsazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Daniel bertekad untuk tidak menajiskan dirinya dengan makanan dan wain yang ditetapkan oleh raja. Oleh itu dia meminta pertolongan Aspenas