Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.” Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami.
Baca KISAH RASUL-RASUL 28
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: KISAH RASUL-RASUL 28:1-10
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video