KISAH RASUL-RASUL 27:27-44

KISAH RASUL-RASUL 27:27-44 BM

Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat. Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, “Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.” Oleh itu askar-askar mengerat tali yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut. Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, “Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.” Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. Bilangan orang di kapal itu 276 orang. Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan. Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ. Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai. Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat. Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri. Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai. Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat.