Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat. Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene. Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. Lusanya kami tiba di Samos dan sehari kemudian di Miletus. Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta. Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia. Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah. Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya. Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya. Aku tidak pernah mengingini wang atau pakaian sesiapa pun. Kamu sendiri tahu bahawa dengan tangan sendiri, aku bekerja untuk mencukupi keperluanku dan rakan-rakanku. Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah. Ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus, ‘Lebih berbahagia memberi daripada menerima.’ ” Apabila Paulus selesai berkata-kata, dia berlutut dengan mereka semua lalu berdoa. Sambil menangis mereka memeluk Paulus dan mengucapkan selamat tinggal. Mereka amat sedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi. Kemudian mereka menghantar dia sampai ke kapal.
Baca KISAH RASUL-RASUL 20
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: KISAH RASUL-RASUL 20:13-38
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video