Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!”
Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.”
Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit.
Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ.
Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?”
Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.” Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ.
Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, “Bangunlah,” katanya, “saya sendiri pun manusia.” Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?”
Kornelius menjawab, “Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. Dia berkata, ‘Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.’ Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.”
Lalu Petrus berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.”
Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?”