KISAH RASUL-RASUL 1:15-26

KISAH RASUL-RASUL 1:15-26 BM

Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. Dia berkata, “Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.” ( Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti “Tanah Darah.”) Petrus berkata lagi, “Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, ‘Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang.’ Ada tertulis juga, ‘Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.’ Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.” Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. Lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.” Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.