2 TESALONIKA 1:3-10

2 TESALONIKA 1:3-10 BM

Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain. Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan. Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan. Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita. Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa, dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita. Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia. Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan.