2 SAMUEL 1
1
Daud Diberitahu bahawa Raja Saul telah Mangkat
1Selepas Raja Saul mangkat, Daud balik setelah mengalahkan orang Amalek. Daud tinggal di Ziklag selama dua hari. 2Keesokan harinya, seorang pemuda tiba dari perkhemahan Raja Saul. Sebagai tanda berkabung, pemuda itu telah mengoyakkan pakaiannya dan menaruh tanah di atas kepalanya. Dia datang kepada Daud dan bersujud untuk menghormatinya. 3Daud bertanya kepadanya, “Dari mana engkau datang?”
Pemuda itu menjawab, “Saya baru lari dari perkhemahan orang Israel.”
4Daud berkata, “Ceritakanlah apa yang telah berlaku.”
Pemuda itu menjawab, “Tentera kami lari dari pertempuran dan banyak askar yang gugur, termasuk Raja Saul dan puteranya Yonatan.”
5Daud berkata, “Bagaimana engkau tahu bahawa Raja Saul dan Yonatan sudah gugur?”
6Pemuda itu menjawab, “Kebetulan saya berada di Gunung Gilboa, dan saya nampak Raja Saul bersandar pada tombaknya. Pada masa itu banyak kereta kuda dan pasukan berkuda musuh yang sudah mendekat untuk mengepung baginda. 7Raja Saul menoleh dan melihat saya, lalu baginda memanggil saya. Saya menjawab, ‘Ya tuanku.’ 8Baginda bertanya siapa saya, lalu saya memberitahu baginda bahawa saya orang Amalek. 9Kemudian baginda bertitah, ‘Mari, bunuhlah beta! Beta luka parah dan hampir mati.’ 10 Maka saya mendekati baginda lalu membunuhnya, kerana saya tahu bahawa secepat baginda jatuh, baginda tentu mati juga. Saya menanggalkan mahkota dari kepalanya dan gelang dari lengannya, lalu membawa semuanya kepada tuan.”
11Setelah mendengar hal itu, Daud mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Semua anak buahnya juga berbuat demikian. 12Mereka meratap, berkabung, dan berpuasa sepanjang hari bagi Raja Saul dan Yonatan, dan bagi Israel umat TUHAN, kerana sangat banyak orang yang terbunuh dalam pertempuran.
13Kemudian Daud bertanya kepada pemuda yang membawa berita itu, “Dari manakah asalmu?”
Pemuda itu menjawab, “Saya orang Amalek, tetapi menetap di negeri tuan.”
14Daud bertanya kepadanya, “Mengapa engkau berani membunuh raja pilihan TUHAN?” 15Kemudian Daud memanggil salah seorang daripada anak buahnya dan memberikan perintah, “Bunuhlah dia!” Orang itu menikam pemuda Amalek itu sampai mati. 16Daud berkata kepada orang Amalek itu, “Ini kesalahanmu sendiri. Engkau telah menjatuhkan hukuman mati atas dirimu sendiri kerana mengaku bahawa engkaulah yang membunuh raja pilihan TUHAN.”
Daud Meratapi Raja Saul dan Yonatan
17Kemudian Daud meratapi Raja Saul dan puteranya, Yonatan. 18 Daud memerintahkan supaya lagu ratapan ini diajarkan kepada suku Yehuda. (Lagu ratapan ini ditulis di dalam Kitab Yasar).
19“Para pemimpin kita dibunuh di bukit-bukit Israel!
Pahlawan-pahlawan kita sudah gugur!
20Jangan sebarkan berita itu di Gat,
ataupun di lorong-lorong Askelon,
jangan sampai wanita Filistin bersukacita,
atau wanita yang tidak mengenal Allah bergembira.
21Biarlah hujan dan embun tidak turun di perbukitan Gilboa,
biarlah ladang-ladangnya menjadi tandus,
kerana perisai pahlawan terlantar di sana,
perisai Raja Saul tidak lagi diminyaki.
22Panah Yonatan ampuh, mematikan;
pedang Raja Saul tidak mengenal kasihan,
menikam askar yang gagah,
dan membunuh musuh.
23Raja Saul dan Yonatan, disukai dan dikasihi,
tidak berpisah dalam hidup dan mati;
mereka lebih tangkas daripada burung rajawali,
dan lebih kuat daripada singa.
24Hai wanita Israel, berkabunglah bagi Raja Saul.
Baginda mendandani kamu dengan pakaian merah yang mewah,
baginda menghiasi kamu dengan emas dan permata.
25Para pahlawan sudah gugur,
terbunuh di medan pertempuran.
Yonatan terbunuh di perbukitan.
26Aku bersedih keranamu, hai Yonatan, saudaraku.
Alangkah baiknya engkau terhadapku!
Alangkah mulianya kasihmu terhadapku,
bahkan lebih mulia daripada kasih wanita.
27Para pahlawan kita sudah gugur,
senjata mereka terlantar dan sia-sia.”
Terpilih Sekarang Ini:
2 SAMUEL 1: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.