2 RAJA-RAJA 19:1-19

2 RAJA-RAJA 19:1-19 BM

Apabila Raja Hizkia mendengar laporan mereka, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Baginda memakai kain guni, lalu pergi ke Rumah TUHAN. Baginda menyuruh Elyakim, pengurus istana, dan Sebna, setiausaha istana, serta imam-imam yang tua untuk berjumpa dengan Nabi Yesaya anak Amos. Mereka juga memakai kain guni. Raja Hizkia menyuruh mereka menyampaikan berita ini kepada Yesaya, “Hari ini hari penderitaan. Kita dihukum dan dipermalukan. Kita seperti perempuan yang hampir bersalin tetapi kehabisan tenaga. Raja Asyur telah mengutus pegawai tertingginya untuk menghina Allah yang hidup. Semoga TUHAN, Allahmu mendengar hinaan itu dan menghukum mereka yang mengucapkannya. Oleh itu berdoalah kepada Allah untuk rakyat kita yang masih hidup.” Apabila Yesaya menerima berita daripada Raja Hizkia, dia memberikan jawapan ini, “TUHAN berfirman bahawa tuanku tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan TUHAN tidak dapat menyelamatkan tuanku. TUHAN akan menyebabkan raja Asyur mendengar suatu khabar angin sehingga baginda lari pulang ke negerinya sendiri. TUHAN akan membiarkan baginda dibunuh di sana.” Pegawai Asyur itu mendengar bahawa raja Asyur telah meninggalkan Lakhis dan sedang berperang menentang Libna, sebuah kota yang berdekatan. Maka dia pergi ke sana untuk meminta nasihat. Pada masa itu Raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka dari Etiopia datang untuk menyerang mereka. Apabila raja Asyur mendengar berita itu, baginda mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia di Yehuda. Demikianlah bunyi surat itu, “Allah yang raja percayai itu berjanji bahawa raja tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu. Raja telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja Asyur terhadap setiap negeri apa sahaja yang hendak dimusnahkannya. Jangan sangka raja akan terlepas! Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka. Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?” Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN dan membentangkan surat itu di hadirat TUHAN, lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub; Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi. Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup. Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka, serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa kerana semuanya hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia. Oleh itu selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN, Allah kami supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau, TUHAN satu-satunya Allah.”