2 RAJA-RAJA 15
15
Raja Uzia, Raja Yehuda
(2 Taw 26.1-23)
1Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Yerobeam II di Israel, Raja Uzia putera Raja Amazia menjadi raja di Yehuda. 2Pada masa itu Raja Uzia berusia enam belas tahun. Baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Bondanya bernama Yekholya dari Yerusalem. 3Baginda mengikut teladan ayahandanya. Baginda melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. 4Tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ. 5TUHAN menyebabkan Raja Uzia menghidap penyakit kulit yang mengerikan seumur hidupnya. Baginda tinggal seorang diri di rumah yang terasing dan dibebaskan daripada segala tugas. Yotam, puteranya memerintah rakyat sebagai wakil baginda.
6Segala perbuatan Raja Uzia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 7 Baginda mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Kemudian Yotam, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Zakharia, Raja Israel
8Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Zakharia putera Raja Yerobeam II menjadi raja di Israel. Raja Zakharia memerintah di Samaria selama enam bulan. 9Raja Zakharia juga berdosa terhadap TUHAN, seperti raja-raja yang memerintah sebelum baginda. Baginda mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. 10Pada masa itu Salum anak Yabes berkomplot menentang Raja Zakharia. Salum membunuh Raja Zakharia di Yibleam dan menggantikan baginda sebagai raja.
11Segala perbuatan Raja Zakharia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
12 Demikianlah berlakunya janji yang dibuat TUHAN kepada Raja Yehu: “Keturunanmu sampai ke generasi yang keempat akan menjadi raja di Israel.”
Raja Salum, Raja Israel
13Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Salum anak Yabes menjadi raja di Israel. Raja Salum memerintah di Samaria selama satu bulan.
14Kemudian Menahem anak Gadi berangkat dari Tirza ke Samaria dan membunuh Raja Salum. Lalu Menahem menggantikan baginda sebagai raja. 15Segala perbuatan Raja Salum, termasuk kisah komplotnya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 16Dalam perjalanannya dari Tirza, Raja Menahem memusnahkan sama sekali kota Tapuah serta penduduknya, dan juga kawasan di sekelilingnya kerana kota itu tidak menyerah kepadanya. Raja Menahem membelah perut semua perempuan hamil di kota itu.
Raja Menahem, Raja Israel
17Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Menahem anak Gadi menjadi raja di Israel. Raja Menahem memerintah di Samaria selama sepuluh tahun. 18Raja Menahem berdosa terhadap TUHAN kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. 19Ketika Raja Pul, raja Asyur menyerang Israel, Raja Menahem memberi Raja Pul 34,000 kilogram perak supaya baginda menolong mengukuhkan kekuasaan Raja Menahem di Israel. 20Raja Menahem mendapatkan wang itu dengan memaksa setiap orang kaya di Israel supaya memberikan 50 keping wang perak. Selepas itu Raja Pul pulang ke negerinya sendiri.
21Segala perbuatan Raja Menahem tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 22Raja Menahem mangkat lalu dimakamkan. Pekahya, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Pekahya, Raja Israel
23Pada tahun kelima puluh pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Pekahya putera Raja Menahem menjadi raja Israel. Baginda memerintah di Samaria selama dua tahun. 24Raja Pekahya berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. 25Pada masa itu seorang pegawai tentera Raja Pekahya yang bernama Pekah anak Remalya, berkomplot dengan lima puluh orang dari Gilead. Kemudian mereka membunuh Raja Pekahya di kubu sebelah dalam istana di Samaria, lalu Pekah menggantikan Raja Pekahya sebagai raja.
26Segala perbuatan Raja Pekahya tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
Raja Pekah, Raja Israel
27Pada tahun kelima puluh dua pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Pekah anak Remalya menjadi raja di Israel. Raja Pekah memerintah di Samaria selama dua puluh tahun. 28Raja Pekah berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.
29Pada masa pemerintahan Raja Pekah, Raja Pul, raja Asyur merebut kota Iyon, Abel-Bet Maakha, Yanoah, Kedes, Hazor, daerah Gilead, Galilea, dan Naftali. Baginda membawa penduduk kota-kota itu ke Asyur sebagai orang tawanan.
30Pada tahun kedua puluh pemerintahan Raja Yotam putera Raja Uzia di Yehuda, Hosea anak Ela berkomplot untuk menentang Raja Pekah. Hosea membunuh Raja Pekah lalu menggantikan baginda sebagai raja. 31Segala perbuatan Raja Pekah tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
Raja Yotam, Raja Yehuda
(2 Taw 27.1-9)
32Pada tahun kedua pemerintahan Raja Pekah anak Remalya sebagai raja di Israel, Raja Yotam putera Raja Uzia menjadi raja di Yehuda. 33Pada masa itu Raja Yotam berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Bondanya ialah Yerusa anak Zadok. 34Raja Yotam mengikut perbuatan Raja Uzia ayahandanya; Raja Yotam melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN, 35tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar kemenyan di situ. Raja Yotam ialah pembina Pintu Gerbang Utara Rumah TUHAN.
36Segala perbuatan Raja Yotam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda. 37Pada masa pemerintahan Raja Yotam, untuk pertama kali TUHAN menyuruh Raja Rezin dari Siria dan Raja Pekah dari Israel untuk menyerang Yehuda. 38Kemudian Raja Yotam mangkat lalu dimakamkan di perkuburan diraja di Kota Daud. Ahas, putera Raja Yotam menggantikan baginda sebagai raja.
Terpilih Sekarang Ini:
2 RAJA-RAJA 15: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.