2 RAJA-RAJA 13
13
Raja Yehoahas, Raja Israel
1Pada tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas putera Raja Ahazia di Yehuda, Raja Yehoahas putera Raja Yehu menjadi raja di Israel, dan baginda memerintah di Samaria selama tujuh belas tahun. 2Seperti Raja Yerobeam yang memerintah sebelumnya, Raja Yehoahas juga berdosa terhadap TUHAN dan menyebabkan umat Israel berdosa. Baginda tidak pernah meninggalkan kejahatannya. 3Oleh itu TUHAN murka terhadap Israel. TUHAN membiarkan Raja Hazael, raja Siria dan Raja Benhadad putera Raja Hazael, mengalahkan Israel berulang kali. 4Selepas itu Raja Yehoahas berdoa kepada TUHAN, dan TUHAN tahu betapa kejamnya raja Siria menindas orang Israel. Kemudian TUHAN mengabulkan doa Raja Yehoahas. 5TUHAN menghantar seorang pemimpin yang membebaskan Israel daripada penindasan orang Siria. Sejak itu Israel hidup dengan tenteram seperti sediakala. 6Tetapi mereka masih belum bertaubat daripada dosa yang disebabkan oleh Raja Yerobeam. Mereka tidak berhenti berdosa, dan patung Dewi Asyera masih ada di Samaria.
7Raja Yehoahas tidak lagi mempunyai angkatan perang kecuali lima puluh orang askar berkuda, sepuluh kereta kuda, dan sepuluh ribu orang askar berjalan kaki. Raja Siria telah memusnahkan angkatan perang Raja Yehoahas dan memijak-mijak mereka seperti debu.
8Segala perbuatan Raja Yehoahas, termasuk keperkasaan baginda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 9Raja Yehoahas mangkat dan dimakamkan di Samaria. Yehoas, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
Raja Yehoas, Raja Israel
10Pada tahun ketiga puluh tujuh pemerintahan Raja Yoas di Yehuda, Raja Yehoas putera Raja Yehoahas menjadi raja di Israel, dan baginda memerintah di Samaria selama enam belas tahun. 11Raja Yehoas juga berdosa terhadap TUHAN, dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa. 12Segala perbuatan Raja Yehoas, termasuk kepahlawanan baginda dalam peperangan menentang Raja Amazia dari Yehuda, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel. 13Raja Yehoas mangkat dan dimakamkan di permakaman diraja di Samaria, dan Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
Elisa Meninggal
14 Pada suatu masa, Elisa, nabi itu sakit tenat. Ketika Elisa hampir meninggal, Raja Yehoas, raja Israel datang menziarahi dia. Sambil menangis Raja Yehoas berkata, “Bapaku, bapaku! Bapalah pembela Israel yang perkasa!”
15Elisa berkata kepadanya, “Ambillah busur dan beberapa batang anak panah.” Raja Yehoas pun mengambilnya. 16Elisa menyuruh Raja Yehoas bersiap untuk memanah, lalu baginda bersiap. Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja. 17Kemudian, dengan perintah nabi itu, Raja Yehoas membuka tingkap yang menghadap negeri Siria. Elisa berkata, “Lepaskan anak panah!” Sebaik sahaja raja melepaskan anak panah, nabi itu berkata, “Tuanku ialah anak panah TUHAN. Dengan perantaraan tuanku, TUHAN akan mengalahkan negeri Siria. Tuanku akan berperang melawan orang Siria di Afek sehingga tuanku mengalahkan mereka.”
18Selepas itu Elisa menyuruh raja mengambil anak panah yang lain dan memukul tanah dengan anak panah itu. Raja memukul tanah sampai tiga kali lalu berhenti. 19Elisa marah dan berkata kepada raja, “Mengapa tuanku tidak memukul lima atau enam kali supaya tuanku dapat mengalahkan orang Siria sama sekali? Tetapi sekarang tuanku hanya dapat mengalahkan orang Siria tiga kali.”
20Tidak lama kemudian Elisa meninggal lalu dikebumikan.
Tiap-tiap tahun, gerombolan orang Moab biasa menyerang negeri Israel. 21Pada suatu hari, ketika orang Israel sedang menguburkan orang mati, mereka nampak gerombolan orang Moab. Oleh sebab ketakutan, mereka melemparkan mayat itu ke dalam kubur Elisa lalu lari. Sebaik sahaja mayat itu terkena pada tulang-tulang Elisa, mayat itu hidup semula dan berdiri tegak.
Peperangan antara Israel dan Siria
22Selama pemerintahan Raja Yehoahas, Raja Hazael dari Siria menindas orang Israel. 23Tetapi TUHAN baik hati kepada orang Israel dan Dia berbelas kasihan kepada mereka. Dia tidak membiarkan orang Israel dibinasakan. Dia menolong mereka kerana perjanjian-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub. TUHAN tidak pernah melupakan umat-Nya.
24Apabila Raja Hazael dari Siria mangkat, Benhadad, puteranya menjadi raja. 25Pada masa itu Raja Yehoas dari Israel, mengalahkan Raja Benhadad tiga kali. Raja Yehoas merampas semula kota-kota yang telah ditawan oleh Raja Benhadad pada masa pemerintahan Raja Yehoahas, ayahanda Raja Yehoas.
Terpilih Sekarang Ini:
2 RAJA-RAJA 13: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.