2 KORINTUS 8:16-24

2 KORINTUS 8:16-24 BM

Kami bersyukur kepada Allah yang sudah menyebabkan Titus sangat ingin menolong kamu, seperti kami juga! Bukan sahaja dia rela memenuhi permintaan kami, tetapi dia juga sangat ingin menolong kamu sehingga dengan kemahuannya sendiri dia membuat keputusan untuk pergi kepada kamu. Bersama dengan dia kami mengutus seorang saudara seiman yang sangat dihormati oleh jemaah di pelbagai tempat kerana pekerjaannya mengkhabarkan Berita Baik. Lagi pula dia sudah dipilih dan dilantik oleh jemaah di wilayah Makedonia untuk menyertai kami dalam perjalanan kami. Dia akan menolong kami mengurus wang derma yang kami kumpulkan untuk memuliakan Tuhan, dan untuk menunjukkan bahawa kami ingin menolong. Kami sangat berhati-hati mengurus wang derma yang besar jumlahnya itu, supaya tidak sesiapa pun dapat mencela kami. Kami bertujuan melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia. Bersama dengan Titus dan saudara itu, kami juga mengutus seorang saudara seiman yang lain. Kami sudah menguji dia berkali-kali dan ternyata dia sentiasa ingin menolong. Sekarang dia lebih lagi ingin menolong kamu, kerana dia mempunyai keyakinan terhadap kamu. Titus itu rakanku dan bekerja bersama-sama aku untuk menolong kamu. Kedua-dua orang saudara yang pergi bersama-sama dia mewakili jemaah di sini, dan kerja mereka mendatangkan kemuliaan bagi Kristus. Tunjukkanlah kasih kamu kepada mereka, supaya jemaah yang mengutus mereka akan mengetahui hal itu. Dengan demikian terbuktilah bahawa apa yang kami banggakan tentang kamu itu benar.