2 KORINTUS 3

3
Hamba Perjanjian yang Baru
1Adakah hal ini kedengarannya seolah-olah kami membanggakan diri lagi? Adakah kami, seperti orang lain, memerlukan surat perakuan untuk kamu, ataupun daripada kamu? Tidak, kami tidak memerlukan surat perakuan. 2Kamu sendirilah surat perakuan kami, yang tertulis di dalam hati kami dan yang boleh diketahui serta dibaca oleh semua orang. 3 Jelaslah bahawa kamu seperti surat yang ditulis oleh Kristus dan dikirim melalui kami. Surat ini tidak ditulis dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup. Surat itu tidak ditulis pada batu tulis, tetapi pada hati manusia.
4Kami berkata demikian kerana keyakinan kami kepada Allah melalui Kristus. 5Kami tidak mempunyai suatu alasan pun untuk mendakwa bahawa kami sanggup melakukan kerja itu, tetapi keupayaan itu datangnya daripada Allah. 6 Dialah yang menyebabkan kami sanggup mengabdikan diri kepada perjanjian yang baru. Perjanjian itu tidak terdiri daripada hukum yang tertulis, tetapi daripada Roh Allah. Hukum yang tertulis itu membawa kematian, tetapi Roh Allah memberikan hidup.
7 Taurat itu diukir pada batu tulis dan kemuliaan Allah kelihatan pada masa Taurat itu diberikan. Walaupun cahaya kemuliaan Allah pada wajah Musa mula pudar, cahaya itu masih begitu gemilang sehingga orang Israel tidak dapat memandang muka Musa. Jika Taurat yang membawa kematian itu diberikan dengan kemuliaan seperti itu, 8tentu lebih gemilang lagi kemuliaan Allah pada waktu perjanjian yang diberikan oleh Roh Allah dimulakan. 9Jika Taurat yang membawa hukuman kepada manusia sangat gemilang, maka lebih gemilang lagi perjanjian yang membolehkan manusia berbaik semula dengan Allah. 10Boleh dikatakan bahawa dengan adanya kemuliaan yang sangat gemilang sekarang ini, kemuliaan yang gemilang pada masa lalu itu sudah tiada. 11Jika sesuatu yang sementara mempunyai kemuliaan, maka sesuatu yang kekal mempunyai kemuliaan yang lebih gemilang lagi.
12Kerana kami mempunyai harapan seperti itu, kami dapat berkata-kata dengan keyakinan. 13 Kami tidak seperti Musa yang harus menutupi muka dengan selubung, supaya orang Israel tidak dapat melihat cahaya pada mukanya pudar dan lenyap. 14Fikiran mereka sudah tertutup. Sampai hari ini pun fikiran mereka masih berselubung pada masa mereka membaca kitab-kitab tentang perjanjian yang lama itu. Selubung ini hanya dapat tersingkap apabila orang bersatu dengan Kristus. 15Sekarang pun apabila mereka membaca Taurat Musa, fikiran mereka masih berselubung. 16 Tetapi selubung itu dapat ditanggalkan, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Musa menanggalkan selubung muka, pada masa dia menghadap Tuhan.” 17Tuhan yang dimaksudkan di sini ialah Roh. Sesiapa mempunyai Roh Tuhan, orang itu bebas. 18Sekarang muka kita tidak berselubung dan kita memantulkan kemuliaan Tuhan. Kemuliaan itu berasal daripada Tuhan, dan Tuhan itu Roh yang mengubah kita semua. Kita semakin menjadi seperti Dia dan semakin memiliki kemuliaan-Nya.

Terpilih Sekarang Ini:

2 KORINTUS 3: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk