2 KORINTUS 2:1-11

2 KORINTUS 2:1-11 BM

Oleh itu aku mengambil keputusan untuk tidak melawat kamu lagi supaya tidak menyedihkan kamu. Jika aku menyedihkan kamu, siapa pula yang dapat menggembirakan aku? Tentunya orang yang sudah aku sedihkan. Itulah sebabnya aku menulis surat itu kepada kamu. Dengan demikian apabila aku melawat kamu, aku tidak disedihkan oleh kamu yang seharusnya menggembirakan aku. Kerana aku yakin bahawa apabila aku gembira, kamu semua pun gembira. Aku menulis kepada kamu dengan hati yang sedih dan berat, dan dengan mencucurkan air mata. Aku tidak bermaksud hendak menjadikan kamu sedih, tetapi hendak menyedarkan kamu bahawa aku sangat mengasihi kamu. Jika seseorang sudah menyedihkan orang lain, dia melakukannya bukan terhadap aku, tetapi terhadap kamu semua atau setidak-tidaknya beberapa orang daripada kamu. (Aku berkata demikian kerana aku tidak mahu bersikap terlalu keras terhadap orang itu.) Cukuplah sudah hukuman yang sudah dijatuhkan kepada orang itu oleh kebanyakan daripada kamu. Sekarang kamu harus mengampuni dia dan menggalakkan dia, supaya dia tidak terlalu sedih hati sehingga putus asa. Oleh itu aku meminta supaya kamu meyakinkan dia bahawa kamu benar-benar mengasihi dia. Aku menulis surat itu kepada kamu kerana aku hendak menguji kamu, sama ada kamu sentiasa sedia mentaati aku. Apabila kamu mengampunkan kesalahan seseorang, maka aku pun mengampuni dia. Hal itu demikian kerana pada waktu aku mengampuni dia - jika memang ada yang perlu diampunkan - aku mengampuninya di hadapan Kristus untuk kebaikan kamu. Aku berbuat demikian supaya Iblis tidak berpeluang untuk menguasai kita, kerana kita mengetahui rancangannya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami