2 TAWARIKH 29:15-31

2 TAWARIKH 29:15-31 BM

Mereka mengumpulkan orang Lewi daripada puak masing-masing, lalu mereka semua menyucikan diri. Sebagaimana yang dititahkan raja, mereka menyucikan Rumah TUHAN menurut Taurat TUHAN. Imam-imam masuk ke dalam Rumah TUHAN untuk menyucikannya. Mereka mengeluarkan semua barang najis ke halaman. Dari situ orang Lewi membawa barang-barang najis itu ke luar kota, ke Lembah Kidron. Pekerjaan itu dimulakan pada hari pertama bulan pertama. Pada hari kelapan, mereka selesai menyucikan seluruh halaman Rumah TUHAN sampai ke bilik depan. Mereka melanjutkan lagi pekerjaan itu selama lapan hari. Pada hari keenam belas bulan itu, mereka selesai menyucikan Rumah TUHAN. Orang Lewi memberi Raja Hizkia laporan berikut, “Kami telah selesai menyucikan seluruh Rumah TUHAN, termasuk mazbah tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan meja untuk roti sajian, dengan segala perkakasnya. Kami juga telah mengembalikan semua perkakas yang diambil oleh Raja Ahas ketika baginda tidak setia kepada Allah pada masa pemerintahannya. Semua perkakas itu telah kami tahbiskan semula untuk TUHAN, dan sekarang semuanya terletak di hadapan mazbah.” Dengan segera Raja Hizkia mengumpulkan pemimpin-pemimpin kota itu, dan masuk ke dalam Rumah TUHAN bersama-sama mereka. Sebagai persembahan untuk menghapus dosa keluarga diraja serta dosa penduduk Yehuda, dan untuk menyucikan Rumah TUHAN, mereka membawa tujuh ekor lembu jantan, tujuh ekor domba jantan, tujuh ekor anak domba, dan tujuh ekor kambing jantan. Raja menyuruh imam-imam keturunan Harun mempersembahkan semua binatang itu sebagai korban di atas mazbah. Mula-mula imam menyembelih lembu jantan, kemudian domba jantan, lalu anak domba. Mereka memercikkan darah tiap-tiap korban itu di atas mazbah. Akhirnya mereka membawa kambing jantan kepada raja dan rakyat, lalu mereka meletakkan tangan di atas binatang itu. Selepas itu, imam-imam menyembelih kambing-kambing itu lalu menuang darah kambing di atas mazbah, untuk menghapuskan dosa segenap rakyat, kerana raja telah memerintah mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengampunkan dosa segenap rakyat Israel. Raja Hizkia mengikut perintah yang diberikan TUHAN kepada Raja Daud melalui Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, dan melalui Nabi Natan. Raja Hizkia menempatkan orang Lewi di dalam Rumah TUHAN untuk memainkan kecapi dan simbal, alat-alat muzik seperti yang digunakan Raja Daud dahulu. Imam-imam juga berdiri di situ dengan trompet. Raja Hizkia memerintahkan supaya korban untuk menyenangkan hati TUHAN dipersembahkan. Sementara korban dipersembahkan, rakyat menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, dan para pemuzik pun mula meniup trompet dan memainkan semua alat muzik yang lain. Tiap-tiap orang di situ ikut beribadat, para penyanyi menyanyi, dan para pemuzik terus memainkan sehingga semua korban selesai dibakar. Selepas itu Raja Hizkia dan semua rakyat berlutut dan menyembah Allah. Raja dan para pemimpin bangsa menyuruh orang Lewi menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, lagu yang dikarang oleh Raja Daud dan Nabi Asaf. Maka semua orang menyanyi dengan sukacita sambil berlutut dan menyembah Allah. Raja Hizkia bertitah kepada rakyat, “Sekarang kamu telah mentahbiskan diri untuk TUHAN, oleh itu persembahkanlah korban kesyukuran kamu kepada TUHAN.” Mereka taat kepada perintah itu, dan ada pula antara mereka yang dengan sukarela membawa binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.