2 TAWARIKH 20:15-22

2 TAWARIKH 20:15-22 BM

Yahaziel berkata, “Tuanku dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, TUHAN berfirman bahawa kamu tidak boleh putus asa atau takut menghadapi pasukan yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, melainkan Allah. Esok seranglah mereka, pada masa mereka mendaki Genting Zis. Kamu akan menemui mereka di hujung lembah yang menuju ke padang gurun dekat Yeruel. Kamu tidak perlu bertempur dalam peperangan ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat TUHAN memberi kamu kemenangan. Janganlah takut atau ragu-ragu, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem! Hadapilah musuh; TUHAN akan menyertai kamu!” Selepas itu Raja Yosafat bersujud dan semua rakyat pun bersujud bersama-sama baginda dan menyembah TUHAN. Puak Kehat dan Korah daripada suku Lewi berdiri, lalu bersorak memuji TUHAN, Allah Israel. Keesokan paginya mereka semua pergi ke padang gurun dekat Tekoa. Ketika mereka berangkat, Raja Yosafat bertitah kepada mereka, “Hai penduduk Yehuda dan Yerusalem, percayalah kepada TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan sanggup bertahan! Percayalah kepada nasihat nabi-nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.” Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!” Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka.