2 TAWARIKH 13:10-18

2 TAWARIKH 13:10-18 BM

Tetapi kami masih mengabdi kepada TUHAN, Allah kami. Kami tidak meninggalkan Dia. Imam-imam keturunan Harun melakukan tugas mereka sambil dibantu orang Lewi. Tiap-tiap pagi dan petang mereka mempersembahkan kemenyan, dan juga binatang sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka mempersembahkan roti sajian di atas meja yang dikhaskan, dan tiap-tiap malam mereka menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas. Kami melakukan perintah TUHAN, tetapi kamu telah menolak Dia. Allah sendiri yang menjadi pemimpin kami. Imam-imam-Nya berada di sini dan bersiap meniup trompet sebagai tanda bagi kami untuk menyerang kamu. Hai rakyat Israel, jangan lawan TUHAN, Allah nenek moyang kamu! Kamu tidak mungkin menang!” Sementara itu, Raja Yerobeam telah mengirim sebahagian daripada tenteranya untuk mengadang tentera Yehuda dari belakang, dan yang lain menghadap mereka dari depan. Tentera Yehuda melihat di sekeliling mereka dan sedar bahawa mereka telah dikepung. Maka mereka berseru kepada TUHAN meminta pertolongan, dan para imam meniup trompet mereka. Selepas itu tentera Yehuda berteriak dengan kuat, dan di bawah pimpinan Raja Abia, mereka melancarkan serangan. Allah mengalahkan Raja Yerobeam dan tentera Israel. Tentera Israel lari daripada tentera Yehuda, dan Allah membiarkan tentera Yehuda mengalahkan mereka. Mereka dikalahkan dengan teruk oleh Raja Abia dan tenteranya. Setengah juta orang askar Israel yang paling baik telah terbunuh. Demikianlah orang Yehuda mengalahkan orang Israel, kerana orang Yehuda bergantung kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.