Orang Kristian yang menjadi abdi mesti menghormati tuan mereka, supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah ataupun ajaran kita. Abdi Kristian yang menjadi milik orang Kristian, tidak boleh menghina tuan mereka, kerana mereka saudara seiman. Sebaliknya, abdi harus melayani tuan mereka dengan lebih baik, kerana orang yang menikmati pelayanan itu saudara seiman yang dikasihi.
Engkau harus mengajarkan perkara-perkara ini kepada jemaah dan menggalakkan mereka melakukannya. Sesiapa mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran benar daripada Tuhan kita Yesus Kristus dan ajaran agama kita, dia sombong dan tidak tahu apa-apa! Keinginannya tidak wajar. Dia suka berdebat dan bertengkar tentang istilah sehingga mengakibatkan kecemburuan, perselisihan, penghinaan, kecurigaan, dan pertengkaran yang tidak habis-habis dengan semua orang yang tidak tahu berfikir dan tidak mengenal apa yang benar. Mereka menyangka dapat menjadi kaya kerana beragama.
Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki. Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan. Orang yang ingin menjadi kaya tergoda dan terjerat oleh bermacam-macam keinginan yang sia-sia dan mencelakakan. Keinginan seperti itu menjatuhkan dan membinasakan orang. Sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan. Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita.
Tetapi engkau, hai orang yang melakukan kehendak Allah, jauhkanlah dirimu daripada segala perkara itu. Berusahalah supaya sentiasa melakukan kehendak Allah, hidup beribadat, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, tabah menghadapi penderitaan, dan bersikap lemah-lembut. Berjuanglah sungguh-sungguh untuk hidup sebagai orang Kristian yang setia, supaya engkau merebut hadiah hidup sejati dan kekal, kerana untuk hidup itulah Allah memanggil engkau apabila engkau mengaku percaya kepada Kristus di hadapan banyak orang. Di hadapan Allah yang memberikan nyawa kepada semua makhluk, dan juga di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang benar kepada Pontius Pilatus, aku menggesa engkau: Taatilah semua perintah itu dengan saksama supaya orang tidak dapat mencelamu, sehingga pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. Kedatangan-Nya akan ditentukan pada waktu yang tepat oleh Allah sendiri. Dialah Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung. Dialah satu-satunya yang hidup selama-lamanya. Dia hidup dalam cahaya yang tidak dapat didekati oleh sesiapa pun. Tiada seorang pun pernah melihat Dia atau dapat melihat-Nya. Hendaklah Dia selalu dihormati dan berkuasa selama-lamanya! Amin.
Nasihatilah orang yang kaya dengan harta dunia, supaya jangan sombong dan jangan bergantung kepada barang-barang yang tidak tetap, seperti kekayaan. Berharaplah kepada Allah yang mengurniai kita segala sesuatu dengan berlimpah-limpah untuk dinikmati. Nasihatilah mereka supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi. Dengan jalan ini mereka mengumpulkan harta yang akan menjadi asas yang kukuh untuk masa depan. Dengan demikian mereka akan mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati.
Timotius, jagalah baik-baik apa yang telah dipercayakan kepadamu. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang tidak berguna dan perdebatan yang sia-sia tentang hal-hal yang disebut orang sebagai “Pengetahuan”. Ada orang yang mengaku memiliki pengetahuan itu, tetapi akibatnya mereka menyimpang daripada ajaran Kristian.
Semoga Allah memberkati kamu semua.