1 TIMOTIUS 4:1-10

1 TIMOTIUS 4:1-10 BM

Roh Allah dengan jelas mengatakan bahawa pada akhir zaman beberapa orang akan menyangkal Kristus. Mereka akan taat kepada roh yang menyesatkan dan kepada ajaran roh jahat. Ajaran itu disampaikan oleh orang munafik dan pendusta yang tidak mempedulikan suara hati mereka. Mereka mengajar orang supaya tidak berkahwin dan tidak memakan makanan tertentu. Tetapi Allah menciptakan makanan untuk dimakan, dan kita sebagai orang Kristian yang mengenal ajaran yang benar harus menerima semua makanan dengan mengucap syukur kepada-Nya. Segala sesuatu yang sudah diciptakan oleh Allah itu baik. Tiada satu pun yang harus ditolak. Terimalah segala-galanya dengan mengucap syukur kepada-Nya, kerana firman Allah dan doa yang diucapkan menjadikan makanan itu suci. Jika engkau memberikan semua petunjuk ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik. Teguhkanlah hidup kerohanianmu dengan ajaran iman Kristian dan ajaran benar yang telah engkau ikuti. Jauhkanlah dirimu daripada cerita-cerita tahayul yang jahat dan sia-sia. Latihlah dirimu untuk kehidupan yang beribadat. Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang. Kata-kata ini sungguh benar dan harus benar-benar diterima serta dipercayai. Kita berjuang dan bekerja keras, kerana kita berharap sepenuhnya kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua orang, terutama sekali orang yang percaya kepada-Nya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 TIMOTIUS 4:1-10